Penguatkuasa MPSP Ditahan Jual Lesen Niaga, Pelekat Hologram


BUKIT MERTAJAM – Seorang penguatkuasa Majlis Perbandaraan Seberang Perai (MPSP) ditahan kerana disyaki menjual lesen perniagaan dan pelekat hologram yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan pukul 6.30 petang di sebuah restoran nasi kandar di Taman Machang Bubok, di sini susulan laporan polis oleh MPSP berhubung perkara itu.

“Laporan polis itu dibuat pada 2 Nov lepas apabila pemeriksaan MPSP mendapati sebuah bengkel kereta di Bukit Mertajam mempunyai lesen perniagaan dan pelekat hologram daripada PBT berkenaan tetapi siasatan mendapati ia tiada dalam rekod mereka.

Susulan itu polis menahan pemilik bengkel berkenaan berusia 41 tahun sebelum menahan penguatkuasa terbabit dan menyerbu rumahnya di Taman Limau Manis, di sini dan merampas pelbagai peralatan komputer dipercayai digunakan untuk memproses serta mencetak lesen perniagaan itu,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata polis turut merampas 31 keping lesen perniagaan dan pelekat hologram MPSP yang belum dicetak dipercayai dicuri lelaki itu dari pejabatnya.

Nik Ros Azhan berkata siasatan awal mendapati lelaki yang bekerja sejak 18 tahun dengan MPSP itu terlibat dalam sindiket membuat lesen perniagaan dan hologram PBT itu sejak dua tahun lepas.

Beliau berkata lelaki itu dipercayai bekerjasama dengan beberapa lagi rakannya yang masih bebas (bukan kakitangan MPSP) untuk menghasilkan lesen perniagaan dan hologram berkenaan serta mereka menawarkan harga bermula RM400 dan ke atas.

“Lesen perniagaan dan pelekat hologram yang dikeluarkan sindiket itu adalah asli kerana ia memang dicuri dari MPSP bagaimanapun nombor siri yang terdapat di kedua-duanya tiada dalam sistem PBT itu. Kebanyakan peniaga memang tahu ia salah,” katanya.

Beliau berkata setakat ini lelaki itu mengaku telah menjual lesen perniagaan dan hologram berkenaan kepada lebih 40 peniaga restoran, kedai mencuci kenderaan, bengkel kereta serta pusat hiburan di kawasan MPSP.

Polis kini mengesan anggota sindiket itu dan peniaga yang telah membeli lesen perniagaan serta pelekat hologram berkenaan bagi membantu siasatan, katanya. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com