Pengarah GLC Ditahan Dipercayai Salah Guna Kuasa, Terima Rasuah


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bergelar Datuk, dipercayai menyalahgunakan kuasa dan menerima sejumlah wang rasuah.

Menurut sumber, suspek berusia 50 tahun itu ditahan di rumahnya di Shah Alam kira-kira pukul 12.30 tengah hari dan dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk membantu siasatan.

Sumber memberitahu SPRM juga telah menyita RM39.3 juta daripada beberapa akaun bank milik suspek dan beberapa ahli keluarganya.

"Wang tersebut dipercayai adalah hasil wang suapan yang diterima suspek selepas menganugerahkan projek-projek kepada syarikat-syarikat yang berkepentingan ketika memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat GLC sebelum meletakkan jawatan tersebut pada tahun lalu," katanya ketika dihubungi.

Suspek dikatakan telah menganugerahkan projek-projek bernilai hampir RM50juta kepada syarikat-syarikat kepentingan dan mengambil wang suapan sebagai balasan ketika memegang jawatan tersebut selama lima tahun bermula tahun 2010.

Selepas meletakkan jawatan tersebut, suspek dilantik sebagai Pengarah di sebuah syarikat GLC lain yang dipegangnya sehingga kini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Suspek dipercayai akan ditahan reman pada Selasa untuk membantu siasatan.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com