Penduduk Taman Perumahan Di Kuala Kedah Sudah 15 Tak Ada Air

Penduduk beratur mendapatkan air setelah 15 hari krisis air di sini.
KUALA KEDAH - Kira-kira 450 keluarga dari Taman Seri Marina Fasa 1, 2 dan 3 mengeluh apabila mereka tidak mendapat bekalan air bersih sejak 15 hari yang lalu.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seri Marina, Mohd Anuar Affindi Abd Aziz berkata, kawasan perumahan mereka sering mengalami masalah berkenaan, namun kali ini lebih lama.

“Sebelum ini paling lama pun setakat tiga hari sahaja, mungkin ia tidak mendatangkan masalah kepada kami, tapi kali ini bekalan sudah terputus sehingga dua minggu lebih.

“Syarikat Air Darul Aman (Sada) ada menghantar air melalui lori tangki, tetapi ia tetap tidak mengurangkan masalah penduduk di sini berikutan jadual penghantaran air tidak menentu,” katanya, kelmarin.

Menurut Mohd Anuar Affindi,  sebahagian kawasan Fasa 1 tidak mendapat bekalan air dari lori Sada sejak masalah ini berlaku.

“Sebanyak dua buah lori tangki Sada beroperasi menghantar air di sini namun mereka hanya masuk sehari sekali sahaja dan kapasiti lori terbabit tidak mampu menampung kira-kira 2,500 penduduk di sini.

“Saya ada membuat cadangan kepada kakitangan pihak Sada agar memasukkan air yang dibawa ke dalam tangki Taman Seri Marina Fasa 1 supaya penduduk di sini mendapat agihan air yang sama. namun pihak Sada keberatan untuk membuat demikian dengan alasan sekolah dan kampung turut memerlukan bekalan air,” katanya.

Penduduk, Rohana Muhamad Sufian,39, yang menjaga ibunya, Siti Azizah Nayan, 56, yang diserang penyakit radang sendi rasa terbeban dengan keadaan yang dialami sekarang.

“Bila tak ada air, nak bersihkan ibu jadi sukar, sebab ibu saya pakai lampin pakai buang.

“Kalau dibiarkan, kasihan pula ibu, tak selesa nanti. Saya pernah tunggu air dari lori Sada sampai jam 4 pagi, tapi tak datang juga.

Manakala seorang suri rumah, Rozita Mohd Lazim, 46, berkata, jadual penghantaran air yang tidak konsisten menyukarkan rutin harian mereka sekeluarga.

“Pernah juga saya tunggu sehingga jam 4 pagi di hadapan rumah, tapi lori tangki tak masuk hantar air pun.

“Kalau tak tunggu depan rumah, mereka tak isi air pula, sudah tunggu tak datang pula.

“Anak saya sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, bangun pagi nak mandi pun tak boleh, air tak ada,” katanya.

Seorang kakitangan kerajaan, Rosli Ismail, 46, berkata, rumahnya langsung tidak menerima agihan air dari lori Sada.

“Saya terpaksa beli air mineral untuk minum, manakala pakaian kotor dihantar ke dobi.

“Anak saya pula, sudah seminggu tak ke sekolah, nak mandi pun tak ada air,” katanya.

Menurutnya, apa yang mengecewakannya, mereka langsung tidak dimaklumkan jadual penghantaran air dari lori Sada.

“Kami tak tau berapa kali sehari lori masuk, pukul berapa masuk, sebab ada lori tangki masuk hantar air pukul 11.30 malam, ada masuk waktu petang.

“Saya pula dah acap kali maklumkan kawasan rumah saya tidak dapat agihan air dari Sada, tapi bagai curah air di daun keladi, sampai hari ini tak dapat juga air,” katanya.

Tengku Zahari hulur bantuan

Sementara itu, Tengku Zahari Tengku Mahmood, pemilik stesen Petronas Kuala Kedah terpanggil untuk menghulurkan bantuan bekalan air bersih kepada penduduk taman itu.

“Saya lihat ramai yang mengeluh dan merungut dengan masalah air yang terjadi dalam aplikasi Whatsapp, jadi rasa terpanggil untuk meringankan beban mereka.

“Lagipun saya sudah ada lori, jadi saya cuma beli sebuah tangki air berkapasiti 600 gelen untuk masuk hantar air ke kawasan perumahan bermula Jumaat baru-baru ini dengan dibantu oleh ahli jawatankuasa KRT.

“Bekalan air diperoleh dari rumah saya sendiri yang terletak kira-kira 200 meter dari taman ini atau dari Depoh Sada, Jalan Putra,” katanya.

Menurutnya yang juga salah seorang kerabat Diraja Kedah, beliau akan meneruskan perkhidmatan agihan air ini sehingga bekalan air bersih pulih sepenuhnya dan bergantung atas kelapangan ahli jawatankuasa KRT taman itu.

Sementara itu, usaha media untuk mendapatkan maklum balas dari pihak Sada berhubung isu ini turut gagal.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com