Penduduk Perlis Sedia Hadapi Air Pasang Besar


KUALA PERLIS – Penghuni di lebih 4,000 rumah di muara sungai dan sepanjang pantai di Perlis sudah bersedia menghadapi air pasang besar yang dijangka berlaku mulai semalam hingga 17 November ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perlis, Mat Hassan berkata berpandu pada ramalan Jabatan Meteorologi, penduduk terbabit kini lebih bersedia menghadapi fenomena tersebut selepas berdepan situasi sama pada 17 hingga 21 Oktober lalu.

Beliau turut menasihatkan penduduk berkenaan agar tidak panik, sebaliknya menggunakan pengalaman lepas untuk mengurangkan kerugian.

“Kerajaan akan membantu apa yang boleh termasuk menyediakan tempat perlindungan sementara bagi menempatkan barang-barang penting dan berharga milik mereka,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Beliau juga meminta penduduk terbabit terutama yang tinggal berhampiran muara sungai pesisir pantai dari Kuala Perlis ke Kuala Sanglang mematuhi arahan pihak berkuasa dan berpindah ke tempat selamat apabila diarahkan.

Mat berkata ban dan benteng batu dari Kuala Perlis hingga Kuala Sanglang sepanjang 20 kilometer tidak mampu menahan ombak tinggi semasa air pasang besar yang boleh menjejaskan lebih 200 hektar sawah di pesisir pantai tersebut.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri telah membuat permohonan tambahan daripada kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf benteng tersebut. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com