Pemuda UMNO Bimbang Gen-Y Keliru Disaji Maklumat Tidak Benar


ALOR SETAR - Kebanjiran maklumat yang tidak benar, berunsur tohmahan dan fitnah yang disaji pihak tertentu menerusi medium media sosial sejak akhir-akhir ini mampu memusnahkan masa depan negara sekiranya tidak dibendung segera.

Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Syed Hafiz Syed Msutafa berkata, kebimbangan itu lahir setelah melihat budaya fitnah tersebut semakin menjadi-jadi dan mengundang kesan buruk terhadap budaya pemikiran generasi muda.

"Akhir-akhir ini kita lihat dunia kian teruk diserang dengan pelbagai tohmah dan fitnah.

"Dari usia muda lagi hari ini, kita disaji dengan fitnah. Cuba kita fikirkan, jika perkara negatif seperti ini dibiarkan berlarutan, fitnah akan menjadi suatu perkara biasa bagi anak-anak kita pada masa akan datang.

"Saya amat risau negara akan musnah akibat fitnah bukannya serangan senjata atau perperangan yang berlaku. " katanya kepada Kedahnews.com ketika ditemui, di sini, hari ini.

Syed Hafiz menegaskan bahawa budaya keji itu kini mengancam minda anak-anak muda menerusi media sosial sehingga mencetus pelbagai persepsi liar tanpa asas yang jelas bersalahan dengan hukum-hakam agama.

"Tetapi serangan dan peperangan persepsi yang menjadi ancaman malah lebih dahsyat dari sebuah peperangan," katanya meluahkan rasa bimbang terhadap pengaruh negatif tersebut.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar itu tidak menafikan hak golongan muda untuk menyalurkan pandangan dan suara mereka, namun sudah tentu ia perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan agama dan undang-undang.

"Orang muda sememangnya berhak nyatakan pandangan. Namun sudah tentulah apa saja yang kita lakukan atau suarakan tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan Islam dan undang-undang negara," ujar beliau.

Sebaliknya, Syed Hafiz mengimbas kembali kehidupan di zaman dahulu yang serba kekurangan dan terpaksa berdepan dengan penjajah yang menjarah hasil di negara ini, namun tetap berjuang dalam kepayahan demi memerdekakan tanahair.

Namun sekiranya media sosial wujud di zaman tersebut, beliau yakin bahawa perjuangan mencapai kemerdekaan Tanah Melayu tidak akan berjaya dicapai ekoran perbalahan dan pepecahan yang mungkin tercetus di kalangan anak bangsa.

"Kita juga cuba memahami tentang orang muda di zaman datuk nenek kita. Mereka di zaman itu sudah tentu kurang bersatu dan terpaksa menghadapi permasalahan ketika berhadapan dengan penjajah.

"Ketika itu juga kemudahan yang ada juga terhad. Namun dalam kepayahan itu bangsa Melayu yang berpecah itu berjaya disatukan sebagai satu suara anak bangsa. Setelah bersatu di atas nama UMNO, barulah penjajah mampu dinyahkan dari negara kita.

"Tapi sekiranya media sosial ada di zaman itu seperti media sekarang, saya amat yakin, negara kita tidak akan mampu untuk merdeka. Mungkin akan berpecah belah seperti kita di zaman sekarang," kata beliau.

Syed Hafiz ditemubual Kedahnews.com tentang seruan kepada bangsa Melayu untuk kembali bersatu padu demi memastikan kepentingan agama, bangsa dan negara terus terjamin tanpa menidakkan kepentingan hak rakyat bukan Melayu seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru ini menyeru kepada usaha memperkukuh hubungan serta perpaduan Melayu-Islam di negara ini sebagaimana yag dituntut Allah di dalam Al-Quran, termasuk menjalin kerjasama di antara jalinan dua parti politik Melayu -Islam terbesar di Malaysia, UMNO dan PAS.

Namun begitu, terdapat pihak-pihak tertentu yang meniup api perbalahan dan cuba menerapkan persepsi buruk terhadap seruan perpaduan tersebut dengan sentimen menakut-nakutkan umat Islam khususnya menerusi media sosial. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com