Pemain Import Di Utara Itu Pernah Berhasrat Sertai JDT – TMJ


KUALA LUMPUR – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mendedahkan terdapat seorang pemain import di utara tanah air yang menjadi kebanggaan penyokongnya pernah melahirkan hasrat menyertai JDT.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pemain itu secara peribadi memberitahu hasrat itu kepadanya selepas satu perlawanan diantara pasukannya dengan JDT di Stadium Larkin sebelum ini.

“Baru-baru ini ada laman yang kita rujuk sebagai Lalang Malaya yang menulis tentang seorang pemain yang bermain di utara yang mengatakan bola sepak bukanlah mengenai wang.

“Pemain yang sama adalah orang yang secara peribadi memberitahu saya di Larkin selepas perlawanan itu, ‘Saya menunggu panggilan anda’,” dedahnya dalam satu kenyataan kelmarin.

Tunku Ismail berkata, pemain itu turut meminta bekas jurulatih JDT, Bojan Hodak menyampaikan mesej kepadanya bahawa JDT adalah satu-satunya kelab di Malaysia yang dia mahu bermain atau akan ke Eropah.

Bagaimanapun, katanya, pemain berkenaan semalam menandatangani kontrak dengan sebuah pasukan di sini kerana dua fakta.

“Yang pertama kerana JDT mempunyai perancangan yang lain dan kedua dia tidak berjaya mendapatkan pekerjaan atau tidak cukup baik untuk bermain di Eropah,” katanya.

Tegas Tunku Ismail, hanya terdapat dua jenis pemain import bermain di Malaysia iaitu pemain yang dibayar dengan harga tinggi dan kedua pemain yang tidak boleh mendapatkan pekerjaan untuk bermain di peringkat yang lebih tinggi di Eropah atau Asia. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com