Pelajar Kolej Terbukti Terlibat Al-Qaeda Dipenjara 12 Tahun


KUALA LUMPUR – Seorang pelajar kolej, yang merupakan individu pertama terbabit dengan kegiatan pengganas Al-Qaeda di Malaysia, hari ini dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas itu dengan menjadi anggotanya.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah menjatuhi hukuman itu ke atas Mohamad Hidayat Azman, 20, pelajar kolej di Kaherah, Mesir, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Al-Qaeda (Jund Al Aqsa) dengan menjadi anggota kumpulan itu.

Dalam penghakimannya, Mohamad Shariff berkata kesalahan itu amat serius dan kepentingan awam perlu diambil kira bagi mengimbangi pandangan masyarakat terhadap kumpulan pengganas itu sebelum mahkamah menjatuhi hukuman.

“Berdasarkan kod nilai asas masyarakat, tindakan yang kamu lakukan ini jijik dan jelik, masyarakat Malaysia dan satu dunia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kamu.

“Oleh itu, mahkamah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dari tarikh tangkap kamu pada 7 Disember 2015 serta barang-barang kes dilucut hak selepas tamat tempoh rayuan,” kata hakim itu kepada tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang prosiding.

Mohamad Shariff berkata ideologi fahaman keganasan mampu mengancam keselamatan dunia dan tindakan tertuduh akan menghidupkan jaringan pengganas antarabangsa di seluruh dunia, terutamanya di Malaysia.

“Kalau kamu betul-betul nak syahid, ingat harapan mak ayah dan adik beradik kamu yang dah salurkan duit banyak untuk kamu belajar, kamu sepatutnya berjihad untuk mereka. Beritahu kawan-kawan kamu tindakan ini bukan jihad, tetapi satu kerugian. Rugi, kamu rugi, tindakan kamu ini ibarat satu tin kosong,” tegasnya.

Mohamad Hidayat yang berasal dari Parit Buntar, Perak, didakwa menjadi anggota kumpulan itu dengan menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang ke Syria antara 5 September 2014 hingga 1 September 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 130J kanun sama yang boleh dipenjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda, dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.

Berdasarkan fakta kes, pada awal September 2014, tertuduh menyambung pengajian di Markas Lisan Salam di Kaherah, Mesir setelah mengikuti perkembangannya di Syria melalui laman sosial Facebook, yang menaikkan semangat jihadnya.

Tertuduh kemudian menghubungi seorang rakyat Syria yang dikenali melalui Facebook untuk mengetahui cara memasuki Syria dan dia menaiki penerbangan ke Hatay, Turki, untuk memasuki Syria.

Ketika berada di Kem Ajnad As Syam di Hama, Syria, tertuduh menjalani latihan fizikal, ketenteraan seperti membuka dan memasang senjata api jenis AK 47 serta latihan menunggang kuda.

Selepas dua minggu di Hama, tertuduh berhijrah ke Idlip, Syria, untuk mengikuti kumpulan Jund Al Aqsa di bawah payungan Al-Qaeda dan menjalani latihan fizikal dan ketenteraan termasuk menjaga sempadan di kawasan tawanan selain turut mempelajari cara menggunakan senjata anti kereta kebal.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Unit Jenayah Berat, Noor Syazwani Mohamad Sobry memohon mahkamah mengambil kira keseriusan kesalahan sebelum menjatuhi hukuman dan bukan sahaja kepada faktor usia tertuduh yang muda.

“Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah melakukan pelbagai aktiviti yang membuktikan dia memang benar-benar berada di Syria, selain daripada gambar-gambar yang dihantar tertuduh kepada rakan-rakannya untuk dilihat.

“Oleh itu pihak pendakwaan memohon satu hukuman bersifat pencegahan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat bahawa keganasan merupakan kesalahan serius,” katanya yang juga menggesa mahkamah mengambil pengiktirafan kehakiman terhadap kes melibatkan pengganas yang semakin berleluasa.

Peguam Faizal Rahman yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengambil kira faktor usia tertuduh yang masih muda iaitu 18 tahun ketika melakukan kesalahan itu dan dia juga insaf ketika berada di Syria serta mendapatkan nasihat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Mesir untuk membantunya keluar daripada kumpulan itu.

Laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat turut dikemukakan kepada mahkamah sebelum hukuman dijatuhi kerana tertuduh berusia 18 tahun ketika melakukan kesalahan itu. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com