Pelajar Kolej Mengaku Salah Buang Bayi Lelaki


KUALA LUMPUR - Seorang pelajar sebuah kolej swasta mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat seorang bayi lelaki, yang dilahirkannya, dua minggu lepas.

Majistret Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor menetapkan 22 Disember untuk laporan akhlak dan menjatuhi hukuman terhadap Nurul Afiqah Mohd Rahshedi, 20, kerana tertuduh merupakan pesalah muda.

Nur A'minahtul Mardiah membenarkan tertuduh yang memakai tudung merah jambu dan gaun labuh berwarna biru diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh jatuh hukum itu.

Anak sulung daripada empat beradik itu didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran seorang bayi dengan cara membuang mayat bayi itu di Blok B-3-7 Projek Perumahan Rakyat Wahyu 2, Jalan Sibu, Sentul di sini pada 1.16 pagi, 9 November lalu.

Nurul Afiqah yang hadir ditemani ibu dan bapa saudaranya didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ketika ditanya majistret, tertuduh memberitahu ibu dan bapanya tahu dia didakwa di mahkamah, namun mereka tidak dapat hadir kerana ibunya berada di kampung manakalanya bapanya bekerja.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Ashif manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com