Pelaburan Osram: Kebetulan Saja Mukhriz Jadi MB... - Dr. Ku Rahman


ALOR SETAR - Cerita sebenar mengenai pelaburan bernilai lebih RM4.5 bilion oleh Osram didedahkan oleh Exco Pelaburan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ku Rahman, merungkai pihak mana sebenarnya yang bertanggungjawab membawa masuk pelaburan lumayan itu ke negeri Kedah.

Menjawab soalan media di lobi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah semalam, Ku Rahman menjelaskan bahawa segalanya bermula kira-kira 2 tahun lalu ketika beliau mengikuti lawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ke Düsseldorf, Jerman.

"Sebenarnya yang dua tahun sudah (lalu), saya ke Düsseldorf bersama lawatan Datuk Seri Mustapa Mohamed, dan kita ada contact person yang contact kita dan team invest Kedah di situ dan Kulim Hi-Tech Park KTPC punya pengurusan.

"Dalam dari pada situ kita buat follow through supaya mereka (Osram) melabur di Kedah," jelas beliau kepada Kedahnews.com tentang punca asal pelaburan tersebut berjaya di bawa masuk ke negeri Kedah.

Kata Ku Rahman, ia hanya kebetulan pelaburan itu masuk ketika Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih menjadi Menteri Besar dan ia bukan menjadi soal ekoran ia merupakan kejayaan kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN).

Katanya, perkara yang paling utama dalam soal pelaburan Osram ialah syarikat terkemuka dunia itu memenuhi perjanjian yang ditandatangani untuk datang melabur di Kedah sekarang dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Kedah selain memberi pulangan cukai kepada kerajaan negeri.

"Jadi kebetulan ketika itu Datuk Seri Mukhriz was the MB.. it could be anybody.

"Jadi yang pentingnya, proses perlaksanaan projek itu berlaku sekarang, kilang itu sedang dilaksanakan.

"Jadi, bagi saya patutnya tidak timbul persoalan zaman siapa Osram itu diumum untuk dibina atau datang melabur di sini. Yang pentingnya proses ini adalah satu proses berterusan of the same government anyway, Kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Bagi saya ia bukan satu isu... tak jadi isu langsung," tegas beliau, seolah-olah membidas secara berkias terhadap sikap Mukhriz yang membangkitkan soal pelaburan Osram yang kononnya merupakan hasil kejayaan beliau ketika duduk di kerusi Menteri Besar Kedah sebelum ini.

Namun begitu kenyataan Ku Rahman jelas menampilkan kematangan beliau mengenai kepentingan pelaburan Osram yang difahamkan sedang dalam proses membina kilang di Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi Kulim (KTPC).

Tegasnya, pihak mana yang membawa masuk sebarang pelaburan di negeri Kedah tidaklah menjadi soal utama, namun yang lebih penting syarikat tersebut benar-benar serius dengan memulakan operasi di negeri berkenaan, tidak membatal atau menangguh pelaburan mereka.

"Yang sebenarnya kita jangan memikirkan siapa bawa masuk, masa Menteri Besar mana, yang pentingnya kita bawa masuk pelaburan ke negeri Kedah," katanya.

Mukhriz sebelum ini memperlekeh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah, yang sebelum ini memasukkan pelaburan berbilion ringgit syarikat terkemuka dari Jerman itu di dalam pembentangan bajet 2017 di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Negeri.  -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com