#PAU2016: Tak Kira Siapa Calon, Kami Pastikan Menang - Pemuda UMNO Kedah


KUALA LUMPUR - Tidak kira siapa, Pergerakan Pemuda UMNO Kedah berikrar akan memberikan sokongan penuh dan 100 peratus solidariti kepada saja yang terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Ketuanya, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, seluruh pejuang UMNO di Kedah bersedia untuk menggunakan konsep yang diguna pakai pada PRU ke-13 yang lalu itu ekoran ia diakui terbukti paling ampuh untuk mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

"Kita tidak kisah, siapa saja yang dipilih Presiden dan pucuk pimpinan, kita akan beri sokongan penuh. Kita akan dokong dan pastikan dia menang.

"Konsep itulah yang memenangkan BN di Kedah pada 2013. Konsep itulah yang menumbangkan Pakatan di Kedah," katanya ketika ditemubual Kedahnews.com di Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Menurut beliau, penerapan nilai muafakat di dalam konsep berkenaan diteruskan di dalam oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, sama ada dalam kepimpinan kerajaan negeri mahupun parti perlu diperteguhkan lagi.

"Muafakat tu penting. Kita perlu perteguhkan lagi kemuafakatan kita, tolak perbezaan yang bukan-bukan tu. Di dalam konsep itu terkandung hikmah perpaduan di kalangan ahli UMNO yang begitu sukar diungkap dengan kata-kata.

"Kita perlu kembali merapatkan segala yang renggang sebelum ini. Tolak ansur dan berjiwa besar, itu antara resepi yang perlu dihayati oleh setiap pemimpin mahupun akar umbi UMNO di Kedah," tegas beliau lagi.

Ahmad Bashah dalam kepayahan setelah tewas pada PRU ke-12 telah berjaya mengemudi UMNO dan BN Kedah untuk merampas kembali negeri itu dari penguasaan Pakatan Rakyat (kini sudah berkubur) pada PRU ke-13 yang lalu.

Walau bagaimanapun, Ahmad Bashah tidak dilantik sebagai Menteri Besar ketika itu dan berjiwa besar memberi laluan kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk menyandang jawatan tersebut biarpun hanya kembali ke Kedah kira-kira 4 bulan sebelum PRU ke-13 berlangsung.

Ahmad Bashah kemudian akhirnya ditakdirkan Allah SWT mengambil alih jawatan Menteri Besar Kedah setelah Mukhriz dikatakan hilang kawalan politik di negeri itu sehingga menyebabkan ramai Ketua UMNO Bahagian dan akar umbi parti hilang kepercayaan padanya. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com