#PAU2016: Semboyan Pilihan Raya Mula Berbunyi - KJ


KUALA LUMPUR - Semboyan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) mula berbunyi apabila Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amanat kepada jentera parti supaya bersiap siaga menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, Najib menyeru kepada semua pimpinan dan jentera parti supaya membuat persiapan awal dalam memikul amanah dan tanggungjawab masing-masing.

"Tak tahu pilihan raya bila tetapi semboyan telah berbunyi untuk kita melaksanakan tugas dan memastikan Umno bersedia menghadapi pilihan raya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Selasa.

Ketua Penerangan parti, Tan Sri Annuar Musa berkata, Najib memberikan signal yang jelas untuk parti membuat persiapan dalam semua keadaan di samping menguatkan jentera parti.

"Beliau juga mahu Umno menjuarai rakyat untuk membawa citarasa rakyat dan kekal sebagai sebuah parti yang membela rakyat.

"Sebagai sebuah parti, idah pilihan raya umum itu tidak berapa lama lagi ada, maka kita perlu membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa," katanya.

Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pula berkata, presiden parti menyeru pimpinan terus mengukuhkan perpaduan di peringkat akar umbi.

Beliau menambah, inilah masanya untuk semua pihak dalam parti memenangi hati rakyat dengan berkhidmat sehabis baik.

"Kita perlu bersatu dan membuat terbaik untuk rakyat bagi memenangi pilihan raya akan datang," kata Mas Ermieyati.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com