#PAU2016: Mohd Najib, "6 Bekas Presiden" UMNO Hadir Pecah Tanah KL PWTC


KUALA LUMPUR – Dengan kecanggihan teknologi hologram 3D, enam bekas presiden UMNO ditampilkan di atas pentas bersama-sama Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Mereka menyaksikan upacara bersejarah perasmian secara simbolik pecah tanah projek pembangunan kompleks Pusat Dagangan Dunia KL Putra (KL PWTC), yang akan menjadi mercu tanda ikonik baru di ibu negara.

Keenam-enam mereka ialah Allahyarham Datuk Onn Jaafar yang merupakan pengasas dan Presiden UMNO yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.


Penampilan mereka pada acara berkenaan yang dipancarkan di layar gergasi yang memenuhi segenap ruang dinding dewan di mana acara itu berlangsung ‘seolah-olah’ mereka menyaksikan upacara bersejarah itu.

Kesemua mereka yang berpakaian baju Melayu lengkap dengan samping dan songkok, tampil selama dua minit di atas pentas utama sebagai simbolik gabungan tenaga untuk legasi dan kejayaan UMNO.

Pada acara itu Najib dan kesemua bekas presiden UMNO, telah bersama-sama melaungkan ‘Hidup UMNO’ sebanyak tiga kali.

KL PWTC, akan dijelmakan dengan bangunan baharu pejabat dan hotel bertaraf enam bintang di menara setinggi 70 tingkat, yang dilengkapi Dewan Putrade, pembangunan semula Dewan Tun Razak 1 dan 2 menjadi sebuah dewan baharu yang luas dan bertaraf dunia, serta projek menaik taraf bangunan sedia ada iaitu Menara Dato Onn, Dewan Merdeka, Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail.

Menara 70 tingkat, yang melambangkan 70 tahun usia UMNO, akan dibangunkan di atas tapak Hentian Putra dengan keluasan lantai 111,484 meter persegi, berhadapan PWTC dan ia akan menjadi ibu pejabat UMNO yang baharu.

Selain enam bekas presiden UMNO itu, turut dipancarkan secara hologram 3D di layar gergasi untuk tatapan para jemputan khas, ialah dua pengangkutan rel utama iaitu Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) yang dibangunkan di bawah pentadbiran Najib.

ETS menghubungkan laluan dari Gemas, Negeri Sembilan hingga ke Padang Besar, Perlis manakala MRT yang masih dalam fasa pembinaan akan menghubungkan Sungai Buloh-Kajang dan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya.

Acara perasmian pecah tanah itu dimulakan dengan penuh adat istiadat Melayu apabila Najib dan barisan kepimpinan tertinggi UMNO diarak masuk ke dalam dewan dengan iringan sekumpulan hulubalang yang lengkap berpakaian pahlawan Melayu menuju pentas utama.


Perarakan itu juga disertai anggota pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang mewakili 13 negeri di seluruh negara.

Gesekan biola yang mengasyikkan oleh guru muzik Endang Hyder, 30, yang mengalunkan dua lagu bertajuk ‘Viva La Vida’ dan ‘Zapin Budi’, memukau para jemputan khas pada acara itu.

Selepas Najib menyampaikan ucapan, Pengerusi PWTC, Tan Sri Alies Anor Abdul menyerahkan replika kunci kepada perdana menteri sebagai tanda simbolik majlis pecah tanah projek pembangunan KL PWTC.

Kerja-kerja fizikal pembinaan menara 70 tingkat itu akan dimulakan pada 11 Mei 2017 sempena kelahiran UMNO. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com