#PAU2016 Medan Penting Pacu UMNO Hadapi PRU-14


KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung Umno 2016, yang akan membuka tirainya esok, menjadi platform terpenting parti politik terbesar Melayu ini memperkukuh solidariti dan mencatur strategi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Diperkatakan sebagai perhimpunan yang terakhir sebelum pilihan raya umum akan datang, pertemuan tahunan di Pusat Dagangan Dunia Putra yang akan dihadiri 5,732 perwakilan kali ini dinantikan banyak pihak yang mahu melihat apakah hala tuju UMNO dalam arena politik tempatan.

Berlatar belakang cabaran yang datang dari dalam dan luar parti serta pelbagai isu yang membelenggu rakyat, perhimpunan agung parti tunjang Barisan Nasional (BN) kali ini perlu menangani segala permasalahan yang timbul untuk membentuk mentaliti menang dan mengekalkan tampuk pemerintahan.

Fokus menghadapi PRU itu pastinya menjadi topik hangat yang akan disentuh oleh jurucakap-jurucakap yang mengambil bahagian sama ada semasa membahaskan ucapan dasar ketua sayap pergerakan masing-masing ataupun ucapan dasar presiden.

Dua pemimpin tertinggi UMNO, Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjangkakan bahawa tumpuan perhimpunan kali ini akan menekankan mengenai ke arah kemenangan UMNO dan BN pada PRU akan datang.

Menegaskan pentingnya semangat mentaliti menang ini dibentuk dalam kalangan anggota parti, Hishammuddin dalam wawancara khas menjelang perhimpunan berkata: “Perkara yang penting sekarang dalam UMNO kita kena bersatu, kena bersiap sedia untuk pilihan raya umum akan datang, rumah tangga kita perlu diperbetulkan dan saya berharap suasana dan perjalanan perhimpunan kali ini menjurus ke arah itu.

“Itu saya rasa penting dan boleh menjadi perkara ‘take away’ kepada perwakilan, perkara yang boleh dibawa balik ke bahagian masing-masing selepas perhimpunan itu.”

Mengenai perjalanan perhimpunan itu, Tengku Adnan berkata tahun ini menyaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan serentak perhimpunan agung ketiga-tiga sayap – Wanita, Pemuda dan Puteri.

Tengku Adnan berkata perhimpunan kali ini akan turut disertai 300 perwakilan Mahasiswa Nasional dan 78 perwakilan Kelab UMNO Luar Negara, serta 44 pemerhati luar negara mewakili 12 parti politik dari 10 negara.

Seramai 1,193 petugas media daripada 48 agensi termasuk tiga agensi antarabangsa akan membuat liputan pada perhimpunan kali ini.

Sebanyak 681 usul diterima dari 191 Bahagian UMNO dengan 510 diterima dan dikategorikan mengikut kluster iaitu politik, sosial, agama, pendidikan dan ekonomi. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com