Patut 20 Sen Seliter, Tapi PM Minta Dikurangkan


KUALA LUMPUR - Harga runcit semasa bahan api pada November sepatutnya naik sebanyak 20 sen seliter tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merasakan harga (peningkatan) perlu dikurangkan sedikit kepada 15 sen.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani memberitahu pemberita bahawa Najib merasakan tidak adil untuk menaikkan harga bahan api terlalu tinggi.

"Berdasarkan harga Oktober, peningkatan sebenar harga sepatutnya 20 sen. Namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merasakan harga (peningkatan) patut dikurangkan sedikit disebabkan kenaikan tidak boleh terlalu tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Pasaran Modal Malaysia ke-21 Institut Kepimpinan Strategik Asia di sini Selasa.

Katanya, harga runcit semasa bahan api dikira berdasarkan harga purata pada setiap bulan.

Johari berkata selain harga minyak dunia, faktor yang diambil kira dalam menentukan harga bahan api ialah pergerakan ringgit berbanding dolar US, dengan pengukuhan ringgit berbanding dolar akan membantu menurunkan harga minyak.

Sejak 1 Disember 2014, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, melaksanakan sistem apungan terurus bagi menentukan harga petrol dan diesel susulan pemansuhan subsidi bahan api.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan masih menanggung subsidi RM400 juta untuk bahan api walaupun harga runcit bahan itu dinaikkan pada Selasa.

Mulai pada Selasa, harga petrol naik 15 sen berbanding bulan lepas, dengan harga runcit petrol RON95 pada RM1.95 seliter berbanding RM1.80, diesel RM1.90 seliter berbanding RM1.75 dan RON97 pada RM2.30 seliter berbanding RM2.15. - BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com