Patah Arang Dengan DAP, PAN: PAS Kedah Patuh Arahan PAS Pusat


ALOR SETAR - PAS Kedah menegaskan bahawa pihaknya menyambut baik patuh pada apa saja arahan yang diberikan oleh PAS Pusat, khususnya berhubung kerjasama PAS dengan parti-parti pembangkang yang lain.

Mengulas mengenai pendirian PAS Kedah berhubung kerjasama dengan Pakatan Harapan yang diketuai DAP, Ketua Pemuda PAS negeri, Mohd Azam Abdul Samat menegaskan ia adalah terpulang pada keputusan pucuk pimpinan parti.

"Kita ada (PAS) Pusat.

"Yang menentukan kerjasama ini semua di peringkat (PAS) Pusat. Kita di peringkat bawah ini, kita ikut apa arahan kepimpinan di sebelah atas," jelas beliau kepada Kedahnews.com mengenai pendirian PAS Kedah yang terkini.

Ketua Pemuda PAS Kedah itu diminta mengulas mengenai pendirian PAS Kedah mengenai pendirian tegas PAS Pusat yang enggan menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 nanti.

Mursyidul Am PAS, TG Ustaz Hashim Jasin sebelum ini memutuskan PAS "berpatah arang" dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN), sebaliknya mengambil pendekatan politik matang dan sejahtera yang konsisten menyokong pendirian baik kerajaan Barisan Nasional dan menegur jika melihat kepincangan dalam dasar-dasar kerajaan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut senada dengan kenyataan Hashim dan menegaskan PAS akan kekal menerajui Gagasan Sejahtera yang turut dianggotai parti Ikatan pada PRU ke-14 nanti.

Susulan itu, PAS dikecam ramai pemimpin Pakatan Harapan, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mengharap diterima masuk ke dalam gabungan parti pembangkang yang diketuai DAP itu.  -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com