PAS Sokong Penuh Usaha Kerajaan BN Gubal Akta Baru


KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyokong penuh usaha Kerajaan Malaysia menggubal satu akta baru iaitu Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik khususnya untuk mengawal rasuah.

Menurutnya, jika akta ini tidak digubal,  rasuah dalam parti politik ini akan menjadi lebih berleluasa.

"Isu ini melibatkan politik wang di mana selagi tiada akta digubal ia akan lebih berleluasa membolehkan parti politik menerima wang daripada pihak lain.

"Oleh itu,  undang-undang yang lebih tegas perlu ada untuk menyelia dana politik ini," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Pas, semalam.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan mencadangkan penggubalan akta tersebut pada hujung September lalu bertujuan untuk mengawal amalan politik wang dan budaya rasuah.

Bagaimanapun, Pas turut mencadangkan beberapa langkah yang lebih proaktif ke arah membasmi amalan politik wang dan budaya rasuah di negara ini.

"Kami ingin mencadangkan supaya membenarkan parti politik menubuhkan syarikat bagi membiayai kegiatan politik secara telus.

"Selain itu, kami menyarankan supaya kerajaan memberi geran tahunan kepada pari-parti politik dalam melaksanakan kegiatan mereka dalam masyarakat," katanya lagi.

Beliau bagaimanapun  turut membantah beberapa cadangan yang diusulkan bersama dengan akta ini.

"Antara cadangan yang dibantah ialah had terhadap perbelanjaan politik dan juga had untuk menerima sumbangan politik atau penerimaan sumbangan dari pihak berkenaan.

"Sekiranya cadangan tersebut diterima, ia akan memberi kelebihan kepada parti yang mempunyai lebih banyak wang," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com