PAS Seru Seluruh Umat Islam Jayakan RUU 355

KUALA LUMPUR – PAS menyeru seluruh umat Islam termasuk Ahli Parlimen muslim bersama-sama menjayakan agenda memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah melalui pembentangan usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian berhubung Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, bukan Islam di negara ini turut diseru supaya menyokong usaha memperkasakan hukuman di Mahkamah Syariah yang merupakan hak muslim di negara ini.

“RUU355 yang diusulkan di Dewan Rakyat bertujuan meminda kadar hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah agar menurut undang-undang Syariah.

“Usul ini akan membuka ruang untuk tiga kesalahan jenayah syariah dihukum berdasarkan undang-undang syariah iaitu bagi kesalahan persetubuhan luar nikah bagi yang belum berkahwin sebanyak 100 sebatan syarie, Qazaf sebanyak 80 sebatan syarie dan minum minuman memabukkan sebanyak 40 sehingga 80 sebatan syarie berdasarkan khilaf antara mazhab fiqh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Usaha PAS untuk meminda akta bagi memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah itu bagaimanapun mendapat tentangan hebat Pakatan Harapan yang diketuai DAP dan dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Parti Amanah Negara (PAN).

Mengulas lanjut, Mohd. Khairuddin berkata, ketiga-tiga kesalahan tersebut waktu ini dibicarakan di Mahkamah Syariah tetapi had hukumannya terhad kepada Akta 355 yang menetapkan had maksima tiga tahun penjara, dengan RM5,000 dan enam kali sebatan.

Kata beliau, menurut Akta 355; Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah ) 1965 (Disemak 1988), bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman kepada kesalahan syariah adalah terhad kepada tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atau enam kali sebatan atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com