PAS Nasihat Agar Tidak Terkeliru Kerana Mahathir


KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta golongan muda supaya tidak terkeliru dengan perjuangan yang sedang dibawa oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad demi kepentingan peribadinya.

Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Nik Abdul Aziz berkata, Mahathir yang kini mengetuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk bersengkongkol dengan Pakatan Harapan yang diketuai DAP sebenarnya terkurung dalam `gunung-ganang kezaliman’ yang dilakukannya dulu.

“Tun Mahathir kini terkurung di dalam gunung-ganang kezaliman yang dilakukannya dulu. Dia berusaha untuk keluar daripada bebanan lampaunya itu dengan cuba menutup laluan rata di celah lerengan yang dibina PAS sejak sekian lama.

“Adakah itu caranya? Memaksa laluannya yang kabur dan hilang?,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pakatan Harapan kini menjalin kerjasama longgar dengan PPBM bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada kerana masing-masing mempunyai agenda dan kepentingan sendiri.

Justeru, Nik Mohamad Abduh meminta golongan muda negara ini supaya tidak terkeliru dengan agenda Mahathir sebaliknya kembali kepada tikar sejadah iaitu pintu kepada keluasan hidup dan kejayaan yang kekal.

“Saya doakan anak muda dengan pekerjaan yang halal dan kekayaan yang diberkati. Dengannya, semoga semua dapat selalu ke kota Mekah bersujud, bertaubat dan mengukuh azam memacu perjuangan membina Malaysia yang diredhai Allah,” katanya. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com