PAS Mohon Kaji Semula Sistem Apungan Harga Petrol


KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyarankan kerajaan mengkaji semula sistem apungan harga runcit petrol sedia ada bagi mencari kaedah dan sistem baharu yang lebih sesuai bagi menetapkan harga runcit petrol.

Naib Ketuanya, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, sistem apungan harga petrol untuk jualan runcit yang diguna pakai sekarang mengelirukan dan menimbulkan keresahan orang ramai setiap kali berlaku turun naik harga runcit petrol.

“Kekerapan kenaikan dan penurunan yang berlaku banyak menyebabkan rantaian kenaikan harga barangan serta perkhidmatan yang menimbulkan keresahan rakyat.

“Setiap kali berlaku kenaikan harga runcit petrol, akan ada rantaian kenaikan harga berlaku seperti kenaikan harga barangan keperluan dan perkhidmatan.

“Namun apabila berlaku penurunan harga, tiada langsung berlaku penurunan harga barangan dan perkhidmatan yang dinaikkan sebelumnya (oleh peniaga),” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Jelas Khairil Nizam, kaedah pengapungan terkawal itu hanya langkah sementara memandangkan harga pasaran minyak dan ekonomi dunia kini tidak lagi menentu dan tidak ada tanda-tanda ia akan berakhir dalam masa terdekat. –Kedahnews.com

1 comment:

  1. Satu kematangan yang sanagt diharapkan... syabas..

    ReplyDelete

| Copyright © 2013 KedahNews.com