PAS Adalah Pengemudi Utama Jika Mahu Bekerjasama - Abdul Hadi


ALOR SETAR - PAS menegaskan kepada mana-mana parti yang berhasrat mahu bekerjasama dengan parti itu bahawa PAS merupakan pengemudi utama dalam kerjasama politik yang terjalin dalam gabungan parti pembangkang.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sekiranya tidak dapat memenuhi syarat atau memahami pendirian PAS itu, maka PAS tidak mempunyai sebarang masalah untuk bertindak secara solo kerana perjuangan parti itu bukan hanya semata-mata untuk memenangi pilihan raya sahaja.

"Pucuk pangkalnya ialah pihak yang mahu bekerjasama itu hendaklah faham dengan jelas bahawa PAS adalah pengemudi utama. Kami tiada masalah bergerak sendirian, bukan sekadar mahu memenangi PRU semata-mata," dalam satu kenyataan di Arau, Perlis, semalam, memetik laporan Bernama.

Abdul Hadi turut mengulangi pendirian PAS bahawa parti itu hanya membuka ruang kepada parti yang sesuai dan sealiran dengan matlamat perjuangan PAS bagi berbincang untuk kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Namun tegas beliau, parti yang mahukan kerjasama PAS perlu ikhlas dan tidak "mencuri" sekiranya menjalin hubungan kerjasama dengan parti itu.

"PAS tiada masalah kalau ada yang nak masuk rumah kami.... tapi jangan pula lepas itu dia 'curi' dalam rumah kami," tegas Abdul Hadi, seakan-akan serik dengan apa yang berlaku ketika PAS bekerjasama dengan DAP dan PKR di dalam Pakatan Rakyat, sebelum ini.

Senada dengan Abdul Hadi, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin pula menegaskan bahawa PAS hanya mengutamakan parti yang mampu memberikan solidariti tidak berbelah bagi pada perjuangan memartabatkan Islam di Malaysia.

Beliau turut memberikan contoh solidariti memertabatkan Islam itu dengan memberikan sokongan kepada menerima usaha dan usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian, Akta 355 untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).

Tegas beliau lagi, PAS tidak memandang bangsa atau agama kerana matlamat penting adalah untuk mengangkat perpaduan manusia demi kesejahteraan negara.

"Walaupun PAS menjadi pembangkang... kami tetap mahu memberi nasihat, kita bersatu dalam perkara yang sama dan tidak berpecah dalam perkara yang berbeza," jelas Mursyidul Am PAS itu.

TG Hashim sebelum ini menegaskan bahawa PAS sudah berpatah arang dengan DAP mahupun Parti Amanah Negara (PAN), dan enggan lagi melakukan sebarang rundingan kerjasama politik dengan kedua parti tersebut.

Pendirian TG Hashim itu diulangi Ketua Pemuda PAS, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz ekoran tindakan beberapa media yang dikatakan menokok tambah dan kurang memahami kenyataan pimpinan utama PAS itu dalam laporan masing-masing. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com