Padah Sorok 100 Paket Minyak Masak 1 Kg Di Tongkang Yard


ALOR SETAR - Seorang pemilik premis di Tongkang Yard, di sini, menerima padah apabila dikesan menyembunyikan 100 kilogram (kg) di kilang miliknya, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, Shahrudin Hamzah, taktik terbabit dikesan dalam aktiviti penguatkuasaan KPDNKK.

"Dalam pemeriksaan kira-kira 12 tengahari itu, kita mendapati pemilik cuba menyorok minyak masak paket 1 kg di premis terbabit.

"Kita menemui 100 kg minyak masak, namunpun begitu pemilik didakwa tidak memiliki surat ataupun permit kebenaran menyimpan stok itu," katanya.

Katanya, pemilik dan pekerja premis turut berada dalam kilang terbabit sewaktu pemeriksaan dilakukan empat pegawai KPDNKK selama dua jam setengah itu.

Shahrudin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibawah Peraturan 12 A, Perintah Kawalan Bekalan 1974.

Kata beliau, pihak mereka membuat sitaan ke atas minyak masak paket 1 kg sebanyak 100 pek itu dengan nilai rampasan sebanyak RM250.

Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan denda tidak lebih RM1 juta ataupun tiga tahun penjara, manakala syarikat sebanyak RM2 juta.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com