Nasi Lemak Wak Kentut Antara Paling Sedap Di Malaysia


KUALA LUMPUR – Nasi lemak, gabungan cita rasa rakyat Malaysia pelbagai kaum, kini menjadi hidangan kebangsaan yang digemari semua lapisan masyarakat.

Malah, makanan itu turut mendapat tempat di hati ramai pelancong asing yang berkunjung ke negara ini.

Namun, nasi lemak di setiap kawasan mempunyai keunikannya tersendiri sama ada dari segi rasa dan cara penyediaannya.

Bagi memperkenalkan keunikan itu, FriedChilies mengambil inisiatif memperkenalkan program ‘I Eat Nasi Lemak‘ yang mengumpulkan 40 vendor nasi lemak terbaik dari seluruh negara.

Acara yang dianjurkan buat kali ketiga dan bermula pada 9 pagi hingga 5 petang Sabtu itu, menarik kehadiran kira-kira 15,000 penggemar hidangan 1Malaysia itu ke Pusat Konvensyen TM di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif FriedChilies, Mohd. Adly Rizal berkata lebih 100 perniagaan nasi lemak dari seluruh negara dinilai sebelum dipilih bagi menyertai acara itu tahun ini.

“Kami mengambil masa tiga bulan mencari dan mencuba nasi lemak untuk dapatkan 40 yang terbaik,” katanya kepada Bernama.


Beliau berkata antara ‘hero’ nasi lemak yang dibawa khas daripada luar Kuala Lumpur adalah Nasi Lemak Ujong Pasir dari Melaka, Nasi Lemak Habib (Batu Pahat), Nasi Lemak Wak Kentut (Kulai) dan Che Pah Corner.

“Kami menjangkakan lebih 38,000 pinggan nasi lemak termasuk lauk disediakan bagi acara ini,” katanya.

Nasi Lemak Wak Kentut antara gerai yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung dalam program ‘I Eat Nasi Lemak‘ itu.

Menurut pengusahanya, Suhirah Sabarin, 39, perniagaan dan nama unik itu diwarisi daripada bapanya yang diberi gelaran Wak Kentut oleh penduduk sekitar Kulai, Johor.

“Kami pernah mahu menukar nama, namun pelanggan tetap kami tidak setuju kerana nama itu sudah sebati dalam ingatan mereka.

“Keistimewaannya adalah nasi lemak itu sendiri diperbuat daripada santan asli yang menjadikannya lebih lemak dan wangi, selain ayam goreng rangup,” katanya.


Bagi pengasas ‘The Nasi Lemak Project‘, Mastura M. Rashid, 26, menjual nasi lemak bukan hanya semata-mata mahu mengaut keuntungan, tetapi turut membantu golongan miskin di bandar memulakan perniagaan mereka.

“Di bawah projek ini, kami menggalakkan pendapatan isi rumah kurang daripada RM900 sebulan mempelajari cara memasak dan berniaga nasi lemak bagi menampung kehidupan daif mereka.

“Kami turut menjalankan perniagaan nasi lemak secara dalam talian, keuntungan itu digunakan dalam kerja amal membantu gelandangan dengan beri tuisyen kepada kanak-kanak setinggan dan Projek Perumahan Rakyat,” katanya. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com