Mulut Terkoyak Hingga Ke Pipi, Tersangkut Tombol Pintu Di Sekolah


SEKEPING gambar yang memaparkan seorang murid lelaki cedera dengan keadaan bibir dan pipi kirinya terkoyak kini tersebar menjadi viral menerusi media sosial.

Dalam kejadian Khamis lalu itu, mangsa, Mohd. Haziq Mohammad Nazi dikatakan cedera akibat terkena tombol pintu selepas terjatuh semasa bermain dengan rakannya di dewan sebuah sekolah agama di Taman Kajang Jaya, Kajang.

Insiden yang berlaku kira-kira 4.30 petang itu, mengakibatkan mangsa berusia 10 tahun itu menerima lebih 50 jahitan.

Menurut ibu murid berkenaan, Zamila Basir, 34, anaknya memberitahu dia terjatuh selepas ditolak dari belakang ketika sedang bermain berdekatan pintu dewan bersama rakannya.

“Kejadian menyebabkan kaki anak saya tersadung sebelum jatuh mengenai tombol pintu.

“Pihak sekolah menghantar anak saya ke Hospital Kajang dan memaklumkan kejadian kepada saya.

“Haziq menerima lebih 50 jahitan di bahagian luar dan dalam selepas bibir serta pipi terkoyak,” katanya kepada myMetro.


Insiden viral ini awalnya dimaklumkan berlaku di Duyong, Melaka.

Walau bagaimanapun, ia dinafikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka yang memberitahu pihak mereka tidak menerima sebarang laporan berkenaan kejadian tersebut. –Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com