Mukhriz "Naik Pangkat", Kini Timbalan Presiden


PUTRAJAYA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengumumkan ahli majlis pimpinan tertinggi parti itu.

Senarai kepimpinan tertinggi parti itu diumumkan di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Rabu.

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Naib Presiden parti itu kini memegang jawatanTimbalan Presiden PPBM.

Jawatan Naib Presiden diisi bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, bekas exco kerajaan negeri Perak Datuk Hamidah Osman dan peguam Datuk Abdul Rashid Asari.

Bekas Ahli Pergerakan Wanita Umno Langkawi, Ainina Saadudin pula dilantik sebagai Ketua Pergerakan Wanita parti itu manakala aktivis dan bekas pendebat kebangsaan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengetuai Pergerakan Pemudanya.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Datuk Shahruddin Md Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jorak, dilantik sebagai Setiausaha Agung parti itu manakala Datuk Mohamed Salleh Bajuri pula sebagai bendahari.

Jawatan Ketua Komunikasi PPBM diisi bekas Adun Semerak, Datuk Kamarudin Md Nor.

Sementara itu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai presiden parti manakala bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula sebagai pengerusi.

Turut mengisi kepimpinan tertinggi PPBM adalah bekas Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Times Press (NSTP), Datuk Abdul Kadir Jasin.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com