Misteri Hilang Kambing Di Baling Akhirnya Terjawab


BALING – Misteri kehilangan seekor kambing peliharaan penduduk di Kampung Luar, Mukim Siong dekat sini terjawab dengan penemuan seekor ular sawa seberat 100 kilogram dalam keadaan kekenyangan di kawasan paya berdekatan.

Menurut Firdaus Abdullah, 34, kejadian itu disedarinya lewat petang kelmarin selepas kambing betinanya yang berusia empat tahun didapati hilang ketika dia mahu menutup kandang kambingnya.

“Sekitar pukul 5 petang, saya lepaskan kambing saya untuk meragut rumput dan apabila saya datang semula lewat petang untuk menutup pintu kandang, saya dapati seekor daripada lapan kambing peliharaan saya hilang.

“Selepas memeriksa di sekitar kandang dan paya berdekatan akhirnya saya menemukan seekor ular sawa batik besar sepanjang kira-kira enam meter dalam keadaan kekenyangan dan tidak bergerak dipercayai akibat menelan kambing saya,” katanya kepada Bernama.

Fidaus berkata kejadian itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ini kali ketiga kambingnya ditelan ular tahun ini.

Dia bersama penduduk lain kemudiannya menangkap ular itu dan diserahkan kepada pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Firdaus meminta pihak berkaitan agar memasang perangkap bagi menangkap ular sawa di kawasan sekitar kerana dia mengalami kerugian ribuan ringgit akibat ternakannya dibaham ular.

Sementara itu jurucakap APM Baling, Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata pihaknya menerima panggilan dari pemilik kandang itu sekitar pukul 7.55 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Pihaknya mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan reptilia itu dari dalam paya kerana saiznya yang besar dan berat, katanya.

Ukar itu kemudiannya dihantar kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Mohd Faizol berkata keadaan cuaca yang berhujan dan lembab sekarang mungkin menyebabkan ular keluar mencari makan dengan menjadikan ternakan penduduk sebagai sasaran. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com