Minyak Masak Malaysia Dijual Terbuka Di Sempadan Wang Kelian, Padang Besar

Gambar Hiasan
KANGAR - Kawalan dan tindakan penguatkuasaan yang longgar di pintu masuk utama di sempadan Perlis-selatan Thailand menjadi antara punca utama bekalan minyak masak bersubsidi dari Malaysia mudah diseludup ke negara jiran.

Selain penyeludupan terancang oleh sindiket, penyeludupan komoditi itu turut dilakukan menerusi aktiviti 'tentera semut' yang melakukan empat hingga lima perjalanan dalam sehari bagi mengumpul bekalan itu.   

Menurut satu sumber yang enggan namanya disebut, ada dua kemungkinan yang menyebabkan minyak masak dari Malaysia dapat diseludup ke negara jiran iaitu anggota penguat kuasa tidak mengambil tindakan sama ada atas "dasar kasihan" atau ada unsur-unsur rasuah terancang membabitkan sindiket.   

Katanya ada juga cara lain untuk menyeludup komoditi berkenaan iaitu melalui laluan tikus atau jalan rahsia.   

Tinjauan Bernama di Wang Prachan di selatan Thailand yang bersempadan dengan Wang Kelian mendapati empat jenama minyak masak dalam paket 1 kilogram iaitu Bagus, Avena, Roda Terbang dan Burung Kuning banyak dijual di pekan berkenaan.

Hanya jenama Burung Kuning tertera 'Untuk Dieksport' manakala tiga lagi yang dicetak 'untuk kegunaan isi rumah, bukan untuk dieksport' dijual secara terbuka oleh  peniaga di pekan sempadan itu.   

Paket 1kilogram berharga RM2.50 di Malaysia dijual antara 32 hingga 35 baht (RM3.50 hingga RM4) manakala minyak masak dalam botol 5kilogram dijual pada harga kira-kira 200 baht (RM22).   

Keadaan sama boleh dilihat di Pekan Siam di Padang Besar, Thailand yang bersempadan dengan Padang Besar, Perlis. Penjualan minyak masak bersubsidi di kedai-kedai di pekan itu juga dibuat secara terbuka, malah orang ramai boleh membeli sebanyak manapun yang mereka mahu.

Kegiatan membawa minyak bersubsidi dalam kuantiti kecil oleh 'tentera semut' terutama dengan menunggang motosikal merupakan satu pemandangan biasa lebih-lebih lagi kumpulan terbabit mengenali pegawai-pegawai penguat kuasa di sempadan yang memudahkan mereka untuk keluar dan masuk.   

Seorang peniaga di Wang Prachan yang enggan memberikan namanya berkata golongan peniaga di sini membuat tempahan secara pukal kerana cara ini lebih baik kerana mereka ditawarkan minyak masak dalam paket 1  kilogram pada harga lebih murah.

Pembekal dari Perlis akan menghantar terus kepada seorang daripada mereka untuk diagih-agihkan kepada rakan-rakan lain namun beliau enggan mendedahkan bagaimana komoditi itu dibawa masuk ke Wang Prachan, katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kastam Perlis Datuk Kamarudin Jaafar yang dihubungi berkata, arahan telah dikeluarkan kepada semua pegawai kastam di pintu masuk pada 1 November lepas supaya merampas walaupun satu paket sekilogram minyak bersubsidi yang cuba dibawa keluar. - Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com