Minum Arak, Hidu Gam Di Baling: Agensi Tak Lepas Tangan

Pihak berkuasa perlu memantau penjualan arak secara terbuka di kawasan Orang Asli di sini
BALING - Gejala minum arak dan menghidu gam dalam kehidupan masyarakat Orang Asli Ken Siu di Kampung Lubuk Legong dalam Dun Bayu, di sini semakin serius serta membimbangkan.

Difahamkan, seramai 170 daripada 300 buah keluarga Islam Orang Asli terlibat dalam kegiatan itu secara tegar.

Tok Batin, Razali Kulim, berkata, lebih 30 tahun aktiviti tidak sihat itu berleluasa.

Menurutnya, keadaan semakin tidak terkawal apabila ia melibatkan kanak-kanak berumur lima hingga tujuh tahun.

“Keadaan semakin tidak terkawal, setiap hari Orang Asli di kampung ini akan mabuk .

“Bukan sahaja ibu bapa yang mabuk, tetapi kanak-kanak juga terlibat,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Razali berkata, suasana menyedihkan itu dapat dilihat setiap kali tibanya waktu petang.

“Punca utama masalah itu tidak terkawal kerana gam dan arak mudah diperoleh dari kedai berhampiran.

"Kedua-dua bahan berkenaan dijual dengan harga mudah iaitu sekitar RM4 hingga RM5," katanya,

Tambahnya, beberapa amaran sudah diberikan kepada peniaga agar menghentikan penjualan kepada masyarakat Islam, namun tidak diendahkan.

“Tiada mana-mana pihak berjaya menghalang peniaga itu daripada terus menjual kepada Orang Asli beragama Islam khususnya kanak-kanak.

"Pihak berkuasa diharap mengambil tindakan tegas diambil terhadap peniaga. Saya risau dengan masa depan Orang Asli Ken Siu, kaum kami satu-satunya yang wujud di negara ini,” katanya.

Aktiviti jenayah meningkat

Razali berkata, akibat aktiviti mabuk yang tidak dibendung itu menyebabkan kegiatan jenayah di kampung itu meningkat.

"Mereka yang tidak bermoral ini menjadi hasil getah dan tanaman kebun seperti pisang untuk dijual semata-mata mahu membeli gam serta arak.

“Malah ada beberapa kes mabuk melibatkan kematian, beberapa individu meninggal dunia sebab minum racun rumput,” katanya.

Bertambah parah katanya, golongan wanita yang mengambil minuman arak terjebak dengan budaya seks bebas.

Penduduk, Sukor Isa, berkata, dia bimbang keluarganya menjadi mangsa jenayah.

“Semakin hari semakin menjadi, anak saya juga masih kecil, takut juga terpengaruh dengan gegala yang tidak sihat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Umno Parlimen Baling mengadakan tinjauan di beberapa lokasi penagihan petang semalam.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Baling, Zulkefli Mohd Amin berkata, masalah berkenaan menjadi rutin harian penduduk Orang Asli di situ.

Menurutnya, kedai terbabit beroperasi tanpa lesen sah sejak puluhan tahun lalu.

"Pejabat Parlimen akan memberi kerjasama dengan agensi penguatkuasa dan penduduk bagi mengatasi masalah berlaku,” katanya.

Agensi kerajaan tak lepas tangan

Manakala, Penggerak Masyarakat Orang Asli Kampung Lubuk Legong, Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Rohana Md Ali berkata, kes gam dan arak dalam kalangan masyarakat Orang Asli di situ melibatkan kanak-kanak bawah 12 tahun menurun.

Menurutnya, golongan terdedah dengan aktiviti tidak bermoral itu adalah lepasan sekolah rendah.

“Jika kita tengok dari perubahan, meningkat ada menurun pun ada.

“Yang meningkat itu remaja berumur 15 hinga 17 tahun, kita turut hantar penagih tegar bersekolah di Perak dan Kelantan,” katanya.

Tambahnya, pihak Jakim juga sentiasa mengawasi masyarakat Orang Asli daripada terus rosak.

“Kita selalu tegur dan mengadakan program buat mereka, agensi kerajaan seperti pejabat agama, pejabat daerah serta badan bukan kerajaan (NGO) turut mainkan peranan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) Kedah dan Perak, Harul Nizam Abd Rahman berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada tok batin mengenai gejala tersebut.

Menurutnya, perjumpaan bersama tok batin dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pernah dibuat bagi mencari jalan penyelesaian.

“Harapan saya sebolehnya kedai terbabit ditutup kerana ia mendorong Orang Asli membeli arak,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com