Masalah Dadah Tingkatkan Kes Jenayah Di Kedah


ALOR SETAR - Kes penyalahgunaan dadah yang semakin membimbangkan di negeri ini adalah antara faktor utama yang menyumbang kepada berlakunya pelbagai kes jenayah termasuk penderaan.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah Mohd Nazir Mustafa berkata, ini kerana penagih dadah khususnya yang mengambil syabu akan menjadi lebih agresif dan bertindak di luar kawalan akibat halusinasi yang tinggi.

"Malah mereka boleh membunuh dengan cara yang kejam dan penagih akan melihat setiap orang adalah musuhnya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Beliau diminta mengulas kes penderaan yang membawa kepada penemuan mayat kanak-kanak yang berbalut dengan selimut toto dan disorokkan di dalam tong dalam bilik sebuah flat di negeri ini.  

Mangsa yang meninggal sejak 9 November lalu dipercayai didera ibunya dan teman lelaki ibunya.

Ujian saringan air kencing terhadap wanita berumur 26 tahun dan teman lelakinya yang berumur 34 tahun itu mendapati kedua-duanya positif amphetamine.

Jelasnya, bagi tempoh Januari hingga November tahun ini sahaja, Kedah mencatatkan 6,413 kes penyalahgunaan dadah dengan 50 peratus daripadanya penagih berumur 20 hingga 30-an yang menggunakan dadah jenis syabu.

Mohd Nazir berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 5,411 kes bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu.

Tambah beliau, dadah sintetik ini juga semakin popular di kalangan pelajar dan buktinya hasil ujian air kencing yang dibuat di sekolah-sekolah bagi tempoh Januari hingga November tahun ini mendapati 336 pelajar positif syabu.

"Walaupun ia menunjukkan penurunan berbanding tahun lepas iaitu 374 kes, namun trend penggunaan dadah jenis sintetik ini semakin membimbangkan di kalangan pelajar sekolah," katanya.

Tambah beliau, AADK akan terus mempertingkatkan operasi menjelang tahun depan bagi mencerahkan semula semua daerah yang dikategorikan sebagai kelabu.

"Sekarang ini 12 daerah di Kedah dikategorikan kelabu atau hitam yang menggambarkan ancaman dadah perlu diatasi secara bersama dengan masyarakat dan AADK akan terus berusaha menjadikan 2018 sebagai tahun bebas dadah di negeri ini," katanya. - Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com