Masalah Air Kedah: Ketua Pembangkang Bidas Kerajaan Negeri "Slow"


ALOR SETAR - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah menegur pihak Kerajaan Negeri supaya lebih serius menyelesaikan masalah air yang sudah lama membelenggu rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri terlalu perlahan untuk mengatasi masalah air di Kedah meskipun telah menubuhkan sebuah jawatankuasa (task force) khas untuk menyelesaikan masalah tersebut.

"Saya nak tekankan di sini betapa slownya (perlahan) kerajaan negeri bertindak untuk menyelesaikan masalah ataupun krisis air yang berlaku.

"Ia bukan benda yang kadang-kadang berlaku seperti yang disebut oleh Adun Kuah (Nor Saidi Nanyan), benda ni benda yang berlaku tiap-tiap hari sentiasa berlaku," katanya kepada Kedahnews.com dalam sidang media di Sidang Dun Kedah, di sini hari ini.

Amiruddin turut membangkitkan pelan jangka pendek jawatankuasa khas itu yang diperuntukkan sebanyak RM15 juta oleh Kerajaan Negeri untuk membina telaga-telaga tiub yang dilihat berkesan menyelesaikan masalah air di beberapa kawasan kritikal.

"Jadi, kita persoalkan tentang penyelesaian jangka pendek yang disebutkan nak buat telaga tiub, saya dapat maklum kata sebenarnya tak ada langsung telaga tiub yang dibuat.

"Yang ada satu (di Padang Kerasak) itu pun sebab kebakaran itu berlaku, itu pun maknanya SADA yang terus buat tu, bukan dari peruntukan RM15 juta yang diumumkan pihak kerajaan," katanya lagi.

Justeru itu beliau meminta supaya Kerajaan Negeri mengambil tindakan yang serius dan tidak membiarkan rakyat Kedah terus dibelenggu masalah air di negeri ini.

Jawatankuasa Khas Air Kedah sebelum ini mengumumkan pelan jangka pendek untuk mengatasi masalah air di kawasan kritikal di sekitar negeri ini dengan membina telaga-telaga tiub di lokasi yang dikenal pasti bersesuaian selepas kajian dibuat mengenai sumber air semulajadi itu.

Sebelum ini, telaga tiub di Padang Kerasak yang terletak di daerah Padang Terap telah dibina oleh Ahli Parlimen Padang Terap yang kini Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dengan kersajama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMS).

Selain itu, terdapat sebuah lagi telaga tiub yang terbina di Kampung Sena bagi mengatasi masalah bekalan air dan banyak memberi manfaat kepada rakyat di sekitar kawasan tersebut ketika negara dilanda fenomena El Nino sebelum ini.  -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com