Mampukah Remaja Masakini Jadi Pemangkin Kekuatan Ummah Masa Depan


REMAJA adalah pe­mang­kin yang akan menentukan kekuatan dan kelemahan umat Islam pada masa depan. Islam amat prihatin terhadap pembentukan keperibadian umat terutama­nya remaja.

Kecuaian dalam aspek pendidikan dan latihan kerohanian adalah faktor utama yang boleh menghancurkan kekuatan dan kewibawaan umat Islam.

Rasuah, penyalahgunaan kuasa dan ketamakan dalam dunia Islam masa kini jelas menunjukkan umat Islam berada dalam suasana ketandusan kerohanian yang amat parah.

Pergolakan politik sesama umat sehingga ke tahap yang boleh menghancurkan negara semakin hari kian jelas dipaparkan. Peng­libatan remaja dalam kegiatan mungkar, jenayah, berkelakuan tidak bermoral dan penagihan dadah adalah perkara biasa dalam negara Islam masa kini.

Apabila suasana begini wujud dalam negara Islam maka konsep kehidupan umat Islam yang berteraskan kepada ajaran wahyu kian luput dalam minda dan jiwa umat Islam.

Umat Islam yang dipaparkan oleh Allah dalam al-Quran sebagai ‘satu umat yang terbaik’ sukar untuk dipertontonkan kepada masyarakat bukan Islam kerana setiap perkara berkaitan kemungkaran dan kebatilan menjadi amalan kebanyakan masyarakat Islam.

Malah perbuatan demikian sudah menjadi nilai kehidupan selama mana ia boleh mendatangkan kekayaan dalam kehidupan.

Umat Islam terkeluar daripada se­na­rai ‘satu umat yang terbaik’ adalah disebabkan mereka cuai ter­­hadap tiga perkara utama yang boleh membentuk kehebatan dan kewibawaan umat Islam. Tiga perkara tersebut adalah menyeru manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia daripada kemung­karan dan beriman kepada Allah.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam Surah 3 (al-Imran): 110 yang bermaksud:
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah”.
Berdasarkan kepada ayat al-Quran tersebut maka umat Islam sepatutnya menilai sejauh manakah mereka telah melaksanakan tiga perkara penting ini dalam kehidupan sebagai seorang individu Islam dan anggota masyarakat.

Beriman kepada Allah adalah satu aspek terpenting dalam pembentukan keperibadian setiap individu agar menjadi seorang hamba Allah yang bertakwa dan mematuhi setiap suruhan ­Allah serta menghindarkan diri daripada perkara yang dilarang oleh-Nya.

Apabila setiap individu Islam memahami dan menghayati ajaran Islam maka secara tidak langsung umat Islam tidak akan terlibat dalam kancah maksiat, kemungkaran, ketamakan dan pe­nyalahgunaan kuasa kerana mereka memiliki kekayaan jiwa atau kerohanian.

Individu yang memiliki kekayaan kerohanian sentiasa bertindak berlandaskan hukum hakam Allah. Ke­gigihan mengejar kebahagiaan kehidupan di hari akhirat menyebabkan mereka secara ikhlas melibatkan diri dalam kegiatan kebajikan dan mencegah kemungkaran.

Apabila ramai umat Islam melibatkan diri dalam kegiatan kebajikan dan mencegah kemungkaran maka struktur sosial kehidupan umat Islam adalah tersusun dan stabil. Maka kegiatan kemungkaran, jenayah dan penyalahgunaan kuasa dapat diatasi secara mudah.

Tiga perkara ini jika dijadikan sebagai amalan umat Islam maka mereka akan menjadi model masyarakat yang terbaik di dunia ini. Rasulullah SAW menjelaskan perkara ini dengan sabdanya:
“Manusia yang terbaik adalah manusia yang paling banyak membaca, ­paling bertakwa kepada Allah SWT, paling giat melakukan kebajikan dan mencegah kemungkaran serta paling suka silaturahim.”
Umat Islam sepatutnya me­nyedari bahawa kehidupan di dunia ini adalah satu perjalanan untuk menuju alam akhirat. Ibu bapa bertanggungjawab membentuk keperibadian anak-anak supaya menjadi individu yang memiliki keperibadian mulia.

Mereka bertanggungjawab menyediakan ke­perluan asas kepada anak-anak dan mengawasi pergerakan mereka dalam kehidupan seharian .

Guru-guru pula adalah ibu bapa kedua kepada pelajar di mana tugas mereka mendidik dan memberi panduan bagaimana cara untuk mencapai tahap kerohanian yang tinggi melalui penghayatan ilmu-ilmu wahyu.

Sekolah dan ­institusi pengajian tinggi sepatutnya mempergiatkan lagi kegiatan yang boleh memperkayakan kerohanian pelajar seperti amalan berbentuk ibadah sepertimana diajar Rasulullah SAW kepada umatnya.

Kegiatan-kegiatan kemasya­ra­katan sepatutnya dijadikan salah satu mata pelajaran sivik yang boleh mendorong pelajar berminat untuk melibatkan diri dalam kegiatan sosial dan negara.

Apabila pelajar dilatih dengan ilmu-ilmu berkaitan kemasyarakatan mereka boleh membantu kerajaan menambah bilangan suka­re­lawan negara. Secara tidak langsung kegiatan amar makruf dan nahi mungkar menjadi amalan masyarakat Islam tanpa mengira umur dan status.

Kurang pengetahuan dan pe­­­nga­laman dalam ilmu kema­sya­rakatan bukan sahaja boleh me­nyebabkan pelbagai perma­salahan masyarakat gagal diatasi oleh pihak yang bertanggungjawab malah boleh melemahkan institusi kerajaan.

Ini di­sebabkan polisi yang dilaksanakan itu tidak bertepatan dengan konteks dan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat. Kegagalan ini boleh menyebabkan permasalahan masyarakat menjadi semakin parah.

Oleh itu, bagi membentuk ke­pe­ribadian mulia dan memper­kayakan kerohanian umat, ma­sya­rakat Islam perlu bekerjasama untuk memulihkan kepincangan dalam masyarakat secara memper­giatkan kegiatan-kegiatan ibadah dan kemasyarakatan.

*Prof. Madya Dr. Saodah Abd Rahman, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia/Utusan

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com