Malaysia, Arab Saudi Bincang Tubuh Pusat Tangani Keganasan, Radikalisme


KUALA LUMPUR - Malaysia dan Arab Saudi mengadakan perbincangan untuk menubuhkan pusat bagi menangkis penafsiran negatif dan ideologi yang mendukung keganasan dan radikalisme dalam Islam.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata rancangan itu, bertujuan untuk meningkatan lagi kerjasama antara kedua-dua negara, dibincangkan semasa pertemuan beliau dengan Timbalan Putera Mahkota merangkap Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Mohammad Salman Al-Saud.

"Kami juga menekankan tentang perlunya untuk menonjolkan Islam sebagai agama perdamaian dan kesederhanaan.

"Kedua-dua pihak bersetuju tentang perlunya untuk membetulkan tanggapan salah mengenai Islam dan fundamentalnya," kata beliau dalam satu kenyataan pada Isnin sebagai menandakan berakhirnya lawatan kerja dua hari ke Arab Saudi untuk meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara.

Mesyuarat juga menekankan keperluan untuk memperkenalkan Islam secara holistik melangkaui dimensi politik yang menyebabkan umat Islam berpecah terutama mengenai Daesh.

Dalam lawatan dua hari ke Arab Saudi, Hishammuddin diiringi antara lain oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Sementara itu, dalam mesyuarat berasingan dengan Ketua Staf Angkatan Tentera Arab Saudi, Jen Abdulrahman Saleh Al-Bunyan yang diadakan di luar lawatan kerja,  Raja Mohamed Affandi menekankan mengenai nilai-nilai kerjasama angkatan tentera kedua-dua negara.

Beliau berkata kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan lagi hubungan tentera dengan tentera antara kedua-dua angkatan tentera dan menarik perhatian bahawa rakan sejawatannya telah menunjukkan minat untuk melakukan kerja ke Malaysia. - BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com