Lihat Pencapaian UPSR Secara Holistik – "Cikgu Det"


KUALA LUMPUR – Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 yang menggunakan format baharu perlu dilihat secara lebih holistik dan tidak menumpukan kepada soal akademik semata-mata, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya, ini kerana kaedah peperiksaan tahun ini lebih menjurus kepada pendekatan kreativiti dan aras pemikiran tinggi berbanding tahun sebelum ini yang memfokuskan kepada soalan aneka pilihan.

“Dalam peperiksaan tahun ini, jumlah A adalah enam. Jadi ibu bapa tidak perlu gusar soal jumlah A itu, memang betul A itu sangat baik tetapi secara keseluruhannya format insrumen itu yang berbeza jauh sekali dalam peperiksaan ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, dekat sini bersempena pengumuman keputusan UPSR 2016 semalam.

Jelasnya, pencapaian UPSR tahun ini tidak wajar dibandingkan dengan keputusan tahun lalu memandangkan murid perlu menjawab kertas peperiksaan berkaitan kefahaman dan penulisan yang memerlukan asas kemahiran berbanding objektif sebelum ini.

Mahdzir berkata pencapaian UPSR 2016 yang merupakan kohort pertama di bawah format baharu pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang juga melengkapi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sejak 2011, bagaimanapun masih perlu dipertingkatkan terutama dalam penguasaan mata pelajaran Sains dan Matematik.

Terdahulu ketika berucap, Mahdzir menjelaskan pencapaian murid ditaksirkan bukan berasaskan kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya PBS turut diambil kira untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Pentaksiran bukan sahaja akademik, tetapi penilaian sekolah juga diambil kira, jika akademik lepas tetapi PBS tidak, ia akan merendahkan markah murid,” katanya.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof di Putrajaya hari ini mengumumkan seramai 4,896 daripada 452,721 murid mendapat keputusan cemerlang Gred A bagi semua mata pelajaran dalam UPSR 2016.

Tahun ini, katanya, pelajar akan menerima empat slip keputusan peperiksaan iaitu Slip Keputusan UPSR, Slip Pentaksiran Sekolah, Slip Pentaksiran Psikometrik dan Slip Pentaksiran Jasmani dan Kokurikulum.

Khair berkata dari segi jurang pencapaian antara bandar dan luar bandar, menunjukkan gred purata 2.84 peratus di bandar manakala luar bandar 3.08 peratus.

“Pihak Lembaga Peperiksaan akan buat analisis khususnya dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris sebab kita tengok pada keseluruhan pencapaian subjek itu di bandar agak tinggi,” katanya. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com