Lebih 100,000 Berdemo Protes Gabenor Jakarta Pertikai Al-Quran


JAKARTA - Lebih 100,000 umat Islam dari seluruh Indonesia berhimpun di ibu kota Jakarta bagi menyertai demonstrasi membantah Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok, selepas solat Jumaat, semalam.

Mereka yang mewakili pelbagai pertubuhan agama termasuk pertubuhan kaum wanita telah berada di Jakarta sejak semalam dan mula berhimpun di Masjid Istiqal, sebelum berarak ke Istana Presiden.

Antara yang menyertai perhimpunan itu ialah pemimpin parti Amanah, Amien Rais, penyanyi kumpulan Dewa yang juga calon untuk naib Pegawai Daerah (Bupati) Bekasi Ahmad Dani dan penyanyi dangdut popular, Rhoma Irama.

Demonstrasi itu menuntut supaya pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Ahok yang mempertikaikan ayat al-Quran dalam surah Al Maidah.

Ahok dalam kempennya di Pulau Seribu pada bulan lepas dikatakan mempertikaikan ayat al-Quran yang meminta umat Islam tidak memilih orang bukan Islam menjadi pemimpin mereka.


Beliau yang akan mempertahankan jawatannya pada Pilihan Raya Februari 2017 bagaimanapun telah membuat permohonan maaf secara terbuka kerana menyinggung perasaan umat Islam.

Tinjauan Bernama mendapati sepanjang Jalan Merdeka Barat bermula dari Bulatan Patung Kuda dibanjiri lautan manusia yang berselawat, bertakbir serta ada yang berceramah.   

Ratusan polis dan tentera setakat ini berjaya mengawal keadaan dengan memberi laluan dan kerjasama kepada peserta demonstrasi bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.   

Polis dan tentera juga menggunakan pasukan udara masing-masing untuk memantau perhimpunan itu manakala pasukan darat pula menjaga semua jalan yang dilalui dan mengawal istana dengan memasang dawai kawat.


Jurucakap Presiden, Johan Budi memberitahu pemberita Menteri Koordinator Politik, Hukum, dan Keamanan, Wiranto akan mewakili presiden untuk menerima memorandum daripada penganjur demonstrasi di Istana Presiden kerana Presiden Joko Widodo atau Jokowi terpaksa berada pada majlis lain yang telah dijadualkan.

Jokowi menerusi siaran televisyen semalam, meminta umat Islam yang menyertai perhimpunan itu supaya menjaga ketertiban dan tidak menimbulkan sebarang kekacauan.

Katanya, kerajaan mengizinkan perhimpunan rakyat selagi ia tidak menimbulkan kekacauan. - Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com