Lagi Serangan Bom, Serangan Khianat Di Selatan Thai


PATTANI – Beberapa kejadian keganasan dan serangan khianat dilaporkan berlaku serentak di wilayah selatan Thailand lewat malam kelmarin, mengakibatkan dua orang maut dan enam cedera.

Pemangku Ketua Polis Pattani Kol Piyawat Chalermai berkata dalam kejadian itu dua pengawal keselamatan kedai pameran kereta di Chana, mati ditembak penyerang tidak dikenali di daerah Chana, Songhkla.

“Kejadian keganasaan di wilayah Pattani, Narathiwat dan Songkhla itu bermula pada 9.30 malam semalam (waktu tempatan) dan berlanjutan sehingga tengah malam,” katanya semalam.

Di daerah Muang, Pattani, beliau berkata penyerang tidak dikenali memusnahkan kemudahan bekalan elektrik manakala di Nongchik pula tiang-tiang elektrik dimusnahkan dengan letupan bom.

“Kejadian itu menyebabkan sebahagian kawasan di Pattani terputus bekalan eletrik dan sebuah stesen minyak di Donyang, di wilayah sama turut terbakar,” kata Piyawat.

Anggota pasukan keselamatan bertugas di Yaring turut diserang dengan tembakan dan bom, manakala di Saiburi, serangan terhadap kemudahan bekalan elektrik turut berlaku, manakala di daerah Thepa sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) musnah diletupkan penyerang dan mengakibatkan beberapa kecederaan pada orang awam, katanya. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com