Lagi Kes Ibu Tinggalkan Bayi Dengan Nota Pesanan


KUALA LUMPUR – Hanya kerana memberi alasan kononnya tidak mampu untuk menjaga anak yang baru dilahirkan, seorang ibu sanggup meninggalkan bayinya di hadapan Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, malam tadi.

Bayi lelaki yang baru dilahirkan itu ditemui orang ramai kira-kira jam 7 malam dengan tubuhnya dibaluti dengan kain batik dengan patung mainan serta sekeping nota.

Difahamkan nota tersebut dipercayai ditulis ibu bayi berkenaan yang ditingalkan dalam kotak berwarna hitam.

Dalam nota tersebut menyatakan tindakannya bukan kerana tidak mahukan bayi yang dikandungkannya itu sebaliknya si ibu tidak mampu untuk menjaganya.

“Assalamualaikum, jika anda membaca nota ini, bayi ini dilahirkan pada 21 November 2016. Tindakan saya terhadap bayi ini adalah bukan saya tidak mahu tetapi saya tidak mampu.

“Jadi saya ingin memberi rezeki saya kepada mereka yang lebih layak dan mampu. InsyaAllah jika punya jodoh kita akan berjumpa. I love you,” katanya dalam nota tersebut.

Difahamkan, bayi berkenaan ditemui dalam keadaan selamat dan telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Kejadian tersebut menjadi viral di laman sosial apabila netizen mengkritik tindakan si ibu yang meninggalkan bayinya hanya kerana alasan tidak mampu menjaga.

Ada juga sebilangan netizen menganggap tindakan si ibu meninggalkan anaknya di masjid adalah perkara yang betul daripada ‘membuang’ di tempat yang boleh menyebabkan kematian. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com