Kutipan Elektronik Sepenuhnya Di Tol Hutan Kampung 30 Nov

Tiga lagi lebuh raya bakal melaksanakan sistem pembayaran tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya tahun depan.
ALOR SETAR - Plus Malaysia Berhad (Plus) akan melaksanakan sepenuhnya kutipan tol secara elektronik di Plaza Tol Hutan Kampung di sini sehingga Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang bermula pada 30 November ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, selain Plaza Tol Hutan Kampung dan Sungai Dua, kutipan tol secara elektronik itu turut membabitkan plaza tol di Alor Setar Utara, Alor Setar Selatan, Gurun, Pendang, Sungai Petani Utara, Sungai Petani Selatan dan Bertam.

Beliau berkata, Plus sedang dalam persediaan untuk melaksanakan sepenuhnya kutipan tol elektronik bagi kemudahan pengguna dengan menggunakan kad PlusMiles, Touch n Go atau SmartTAG.

"Pengguna disaran menggunakan kad PlusMiles kerana kami menawarkan rebat bersempena musim perayaan dan promosi tertentu...jadi pengguna akan mendapat manfaat selain dapat melancarkan perjalanan," katanya kepada pemberita selepas majlis gotong-royong Plus bersempena Hari Komuniti Plus di Kampung Tok Pasai, Kuala Kedah di sini, semalam.

Noorizah berkata, pihaknya akan menyediakan lorong khas bagi mendapatkan dan menambah nilai kad elektronik Touch n Go dan PlusMiles di setiap plaza tol terbabit.

Sementara itu, lebih 1,000 warga kerja Plus menjayakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan di 16 lokasi secara serentak di seluruh negara semalam.

Noorizah berkata sejak 2005, Plus telah membelanjakan sebanyak RM50 juta bagi program CSR untuk membantu orang ramai terutama golongan sasaran dalam meningkat kualiti hidup mereka.

Beliau berkata program CSR Plus antara lain meliputi kempen keselamatan jalan raya, pendidikan, peningkatan tahap sosioekonomi serta sumbangan kepada penduduk sekitar, pemberian rebat dan diskaun tol, sumbangan kepada Orang Kurang Upaya, tajaan dan alam sekitar.

Katanya melalui program itu, Plus turut membantu meningkatkan tahap sosioekonomi penduduk sekitar kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Plus yang kini sudah melahirkan kira-kira 800 usahawan tempatan dan mewujudkan 5,500 peluang pekerjaan.

"Plus turut membelanjakan kira-kira RM5.4 juta untuk menyediakan kelengkapan persekolahan kepada kira-kira 27,000 pelajar sekolah menengah dan rendah di seluruh negara sejak 2014," katanya. - Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com