Kurang Elemen ‘Box Office’, Punca Filem Gagal Tembusi Antarabangsa


KUALA LUMPUR – Kurangnya elemen ‘pecah panggung’ dikatakan punca kepada kebanyakan filem tempatan gagal memasuki pasaran antarabangsa, kata Naib Presiden Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM) Syed Zulkifli Syed Masir.

Biarpun banyak filem ditayangkan berjaya mencatat kutipan jualan tiket memberangsangkan, namun ia masih gagal menarik minat penonton luar terutama dari rantau ASEAN, katanya.

Beliau berkata ia satu kerugian jika dibandingkan dengan pelbagai filem dari negara serantau seperti Thailand dan Indonesia yang mendapat sambutan cukup baik di negara ini apabila ditayangkan.

“Filem kita juga sering gagal menempatkan diri dalam kelompok ’10 Terbaik’ senarai pecah panggung tahunan, berbeza dengan senario industri di dua negara jiran itu yang karya tempatan mendominasi carta.

“Daripada situ kami (FDAM) mengkaji filem-filem pecah panggung antarabangsa untuk mencari elemen box office yang tiada dalam karya tempatan seterusnya menghasilkan filem eksperimen berjudul Hijabista Ballet,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui selepas menghadiri sesi tayangan satu jam pertama filem berkenaan kepada pelajar Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing di Cyberjaya, di sini, baru-baru ini.


Syed Zulkifli atau lebih dikenali dengan panggilan Syed Zul Tojo berkata filem panjang pertama arahannya itu merupakan eksperimen yang menggabungkan beberapa elemen “pecah panggung” yang dikenal pasti dalam kajian dilakukan.

“Menerusi Hijabista Ballet, kita mengaplikasikan 51 elemen pecah panggung yang kita temukan dalam kajian dengan menyelitkan elemen seperti penceritaan di luar kotak fikiran iaitu cubaan mencantumkan dua dunia berbeza melibatkan tarian balet dan pemakaian hijab.

“Kita juga menekankan elemen kekuatan jalan cerita serta sudut rakaman kerana ia berperanan membantu penonton lebih memahami penceritaan yang ingin disampaikan,” katanya.

Filem berdurasi kira-kira 120 minit itu mengisahkan keinginan seorang remaja bernama Adele untuk terus beraksi dalam seni tarian balet biarpun dirinya sudah berhijrah memakai hijab.

Tindakan Adele yang tetap berkeras meneruskan kecenderungannya itu mendapat tentangan hebat keluarga, masyarakat sekitar termasuk golongan ekstremis agama sehingga beliau mengambil keputusan membawa diri ke Australia.gg

Mengetengahkan tema perjuangan, cinta, kepercayaan dan kemahuan, filem dibintangi Aida Khalida, Betty Banafe, Aman Graseka serta barisan pelakon muda termasuk teraju utama Puteh Maimun Zahra sebagai Adele itu dijadual menemui penonton awal 2017.

Tambah Syed Zulkifli, penghasilan filem yang disifatkan menyentuh sensitiviti agama itu terlebih dahulu telah merujuk pandangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta Institut Kajian Strategik Islam Malaysia. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com