Kubur Untuk Ingatkan Tentang "Giliran" Kita


BENARKAH perasaan sedih atau simpati kepada si mati dan keluarganya adalah perkara pertama yang terlintas di kepala apabila kita menjejak kaki ke tanah perkuburan?.

Mungkin tanggapan berkenaan dipersetujui kerana suasana sunyi dan trauma yang menyelubungi tanah perkuburan. Apatah lagi, kedengaran suara tangisan atau kesedihan ahli keluarga si mati.

Samalah kalau dilihat suasana perkuburan yang dipaparkan dalam filem, drama atau berita di televisyen. Kita bersetuju dengan persoalan berkenaan.

Bagaimanapun seorang pendakwah kelahiran Harlem, New York, Sheikh Khalid Yasin menyatakan bahawa ia bukanlah perkara pertama akan terlintas di kepala seseorang yang berada di tanah perkuburan atas tujuan tersebut.

Ikuti soal jawab di bawah:

Apakah yang terlintas?

Apabila seseorang itu berada di tanah perkuburan kerana pengebumian ahli keluarga atau kawan, perkara pertama yang akan terlintas bukan tentang si mati tetapi adalah suatu hari nanti, tempat perbaringan itu akan diisi oleh dirinya pula.

Perkara itu akan terlintas di kepala tetapi tidak kekal lama kerana kesibukan kita dengan urusan dunia. Ia lenyap begitu sahaja.

Kenapakah tidak kekal lama?

Pada masa itu, persoalan yang lebih dominan dalam kepala adalah soal harta yang ditinggalkan, nasib ahli keluarga si mati, kisah hidup arwah sebelum ini dan sebagainya.

Kita pula akan berkelakuan seperti hari-hari biasa sebaik sahaja meninggalkan tanah perkuburan. Soal agama berhubung kematian tidak menjadi suatu keutamaan walaupun menyedari bahawa mati adalah satu yang pasti terjadi kepada setiap makhluk ciptaan Allah SWT atas muka bumi ini.

Jadi, apakah nasihat tuan?

Kita tahu kematian itu seperti mana kita tidur. Badan dan semangat mati tetapi perasaan sedar masih kekal kerana kita akan menyedari bila orang menanam kita ke dalam kubur. Cuma, kita tidak boleh bercakap pada ketika itu.

Dalam alam kubur itulah bermulanya drama dan trauma sebenar kerana sememangnya ada sebab kenapa manusia dimasukkan ke alam berkenaan. Kita boleh menjerit ketika ditanam tetapi jeritan itu hilang begitu sahaja.

Itulah sepatutnya kita yang masih hidup memikirkan bila berada di tanah perkuburan. Alam kubur akan menjadi tempat drama dan trauma sebenar. Tempat yang kita akan ditanya sebelum dibangkitkan kelak.

Apakah tanda untuk menyedarkan kita tentang hakikat itu?

Tanda-tandanya jelas kelihatan di sekitar kita. Contohnya, kita tanam jagung. Bermula dengan menanam benihnya dan tumbuh sebelum dituai untuk dimakan atau dijual. Kita lakukan proses sama selepas itu berulang kali.

Samalah seperti ketika bumi dilanda musim sejuk. Daun berguguran, tanah menjadi beku dan mati. Tetapi bila tiba musim luruh, air datang dan menyegarkan semula bumi ini.

Sepertimana firman Allah SWT dalam surah Fussilat: 5 bermaksud:
“Dan di antara tanda-tanda-Nya (ialah) bahawa kau lihat bumi kering dan gersang, maka apabila Kami turunkan air di atasnya, nescaya ia bergerak dan subur. Sesungguhnya Tuhan yang menghidupkannya, pastilah dapat menghidupkan yang mati. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
Tetapi tanpa disedari, kita sebenarnya mahu menafikan hakikat tersebut kerana kita tidak mahu diadili oleh Allah SWT.

Sumber: Utusan

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com