Kritikan Penyokong Jadi Azimat TCH Kemudi Kedah Ke Puncak Juara


ALOR SETAR - Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe sentiasa memandang positif atas segala kritikan yang dilemparkan terhadapnya khususnya dari kalangan peminat bola sepak Kedah dan menjadikannya 'azimat' paling ampuh untuk memperbaiki diri.

Beliau mengakui tentang beberapa keputusan seri yang meresahkan penyokong Hijau Kuning ketika itu, namun kritikan-kritikan mereka telah membakar semangatnya untuk memberikan komitmen berlipat ganda untuk memastikan kecemerlangan skuad Lang Merah.

"Pada pertengahan musim tahun ini, banyak perlawanan kita berkesudahan dengan keputusan seri. Tapi keputusan seri itu bagi saya adalah keputusan yang lebih baik daripada kita menerima kekalahan.

"Semua itu menjadi pemangkin diri dan pembakar semangat bagi saya untuk bekerja lebih keras pada tahun ini.

Justeru itu, beliau komited memberikan perangsang dan motivasi kepada para pemain Lang Merah supaya bangkit dengan mencetus pemikiran positif dan memberikan 100 peratus komitmen mereka, khususnya ketika di atas padang.

Tan Cheng Hoe dikritik hebat oleh para penyokong Lang Merah sekembalinya beliau dari menjalani kursus kejurulatihan profesional di luar negara ekoran keputusan-keputusan seri skuad kebanggaan Kedah, termasuk membandingkan beliau dengan pencapaian bekas penolongnya, Ramon Marcote, yang membawa skuad Kedah menjadi Naib Juara Piala Malaysia tahun lalu.

Namun begitu, beliau bangkit membuktikan dirinya merupakan antara jurulatih terbaik di negara ini apabila menjangkaui sasaran dengan menghuni tangga ketiga Liga Super dan mencatat sejarah menamatkan kemarau kejuaraan apabila Kedah muncul juara bagi TM Piala Malaysia 2016.

Selain itu, anak kelahiran Sungai Petani itu turut mengingatkan para pemain bola sepak Kedah untuk mengamalkan disiplin yang tinggi, dan terbukti "ramuan" berkenaan telah berjaya memberi keputusan yang paling manis buat seluruh rakyat Kedah.

Bagi beliau, kejuaraan TM Piala Malaysia 2016 kali ini adalah kenangan paling manis sepanjang kariernya dalam dunia bola sepak negara ekoran berjaya menjadi pemain dan jurulatih yang menjulang piala paling berprestij di negara ini.

"Pada tahun 1990, kita menjuarai Piala Malaysia untuk pertama kali dan kenangan itu masih lagi segar dalam ingatan saya.

"Suasana sekarang juga sedemikian (juara Piala Malaysia 1990), di mana penyokong-penyokong Kedah begitu gembira, termasuk pengurusan dan pemain-pemain kita. Itu kenangan terbaik pada saya sebagai jurulatih," katanya terharu dengan sambutan hangat yang diterima hari ini.

Tan Cheng Hoe dan skuad Lang Merah hari ini disambut meriah oleh kira-kira 10 ribu penyokong setia Hijau Kuning yang membanjiri Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim sejak jam 1 tengahari dan kemudian berarak kira-kira 9 kilometer menuju ke Stadium Darul Aman.

Turut bersama menyambut kepulangan wira-wira Hijau Kuning itu ialah Menteri Besar Kedah, merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan EXco Sukan Kerajaan Negeri merangkap Setiausaha Agung KFA, Datuk Aminuddin Omar.

Selain itu, turut hadir memeriahkan suasana ialah beberapa Exco Kerajaan Negeri seperti Datuk Tajudin Abdullah, Datuk Leong Yong Kong, Datuk Tajul Urus Md Zain dan Datuk Nor Sabrina Mohd Noor.

Walau bagaimanapun, empat tonggak Kedah Kapten Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon, Mohd Rizal Ghazali dan Khairul Helmi Johari, tidak dapat menghadirkan diri dalam sambutan hangat itu ekoran terpaksa melaporkan diri bersama skuad kebangsaan malam ini bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan Papua New Guinea dan persiapan Piala AFF Suzuki.

Perarakan skuad Lang Merah hari ini dimulakan dengan konvoi puluhan motorsikal berkuasa tinggi, bas dua tingkat tanpa bumbung yang membawa para pemain, konvoi motorsikal penyokong Hijau Kuning dan rakyat setempat yang membanjiri di kiri kanan bahu jalan sepanjang perarakan bersejarah tersebut. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com