Kos "Penampilan Diri" Selebriti Boleh Dipotong – LHDN


POTONGAN cukai ‘penampilan diri’ untuk penggiat seni sudah diberikan selama ini oleh kerajaan, jelas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kerajaan sedia memberikan potongan bagi bayaran jurusolek dan sewaan pakaian, selain beberapa kos lain seperti pengurusan artis dan pengiklanan, kata seorang jurucakapnya.

Malah kos perjalanan seperti petrol, tol dan caj parkir juga boleh dimohon untuk dikecualikan cukai, kata pegawai perhubungan awam LHDN, Masrun Maslim.

“Untuk perbelanjaan jenis ini, tiada peruntukan atau amaun tertentu yang ditetapkan. Ia terpulang kepada perbelanjaan sebenar seseorang artis tersebut dalam menjalankan profesion mereka,” katanya yang dipetik Malay Mail Online.

“Setiap tahun mereka kena hantar Borang B.  Jadi mereka boleh tuntut belanja operasi setiap tahun.

“Mereka perlu simpan semua dokumen sokongan seperti invois (termasuk, pembelian alat solek), baucer, bayaran jurusolek dan pengurus artis, resit pembelian dan lain-lain,” jelasnya.

Beliau diminta mengulas berhubung kenyataan Nora Danish dalam sebuah akhbar semalam yang menyeru kerajaan memberikan ‘sedikit pelepasan’ cukai atas faktor kerjaya artis yang sentiasa perlu dilihat menarik dalam berpenampilan.

“Cuma apa yang saya harap ada sedikit pelepasan buat selebriti macam kami ini. Bukan apa, dalam waktu sekarang kami banyak mengeluarkan wang untuk penampilan diri.

“Jadi, (bayaran) ini adalah sebahagian daripada kerja dan ia barangkali boleh dimasukkan sebagai kos kerja bagi kami,” kata pelakon itu dalam temubual bersama akhbar terbabit.

Mengulas lanjut, Masrun berkata LHDN menganggap kos atau bayaran tersebut ‘perbelanjaan operasi’ sebagai penggiat seni.

“Sebenarnya, terma yang kami gunakan bukanlah pelepasan cukai sebaliknya terma yang betul ialah perbelanjaan operasi sebagai artis dan selebriti,” katanya lagi.

Tambahnya, kebanyakan penggiat seni dikenakan cukai tinggi kerana tidak menghantar borang cukai dan gagal menyediakan penyata pendapatan yang lengkap dengan dokumen sokongan.

Terdahulu, cadangan Nora telah menimbulkan kontroversi apabila ada pengguna internet membuat andaian golongan artis mahu mengelak cukai walaupun pendapatan mereka jauh kebiasaannya jauh lebih tinggi daripada kebanyakan orang biasa. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com