Konvensyen UMNO Kedah: Ketepi Pemilihan Parti Demi Matlamat PRU Ke-14

SUNGAI PETANI - Seluruh ahli UMNO di negeri Kedah diminta supaya mengenepikan kepentingan diri membabitkan pemilihan kepimpinan parti dan memberi fokus sepenuhnya bagi menhadapi ujian getir Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, seluruh pejuang agama, bangsa dan negara perlu membuat persediaan seampuh mungkin bagi mencapai sasaran kemenangan majoriti dua pertiga bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan menambah kerusi Parlimen Barisan Nasional pada PRU itu nanti.

"Soal pemilihan dalam parti, kita tolak ke tepi dahulu, sekarang matlamat dan tumpuan kita PRU ke-14 dengan agenda mengekalkan kerajaan yang mentadbir negeri dan negara ketika ini.

"Selain mahu mempertahankan kemenangan pada PRU13, kita juga mahu menawan Parlimen Alor Setar dan Pokok Sena.

"Kita memenangi 21 kerusi Dun dan 10 kerusi Parlimen semasa PRU lalu, dan kita berjanji untuk menghadiahkan kemenangan dua pertiga pada PRU ke-14 akan datang.

"Bagaimanapun usaha meraih kemenangan memerlukan kerjasama semua pemimpin dan anggota Umno termasuklah sayap Wanita, Pemuda dan Puteri," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Umno Kedah 2016 di sini, semalam.

Negeri Kedah mempunyai 36 kerusi Dun dan 15 kerusi Parlimen secara keseluruhannya.


Ahmad Bashah berkata, kepimpinan UMNO Negeri sedar mengenai niat pihak pembangkang yang mahu menawan Kedah kembali dari penguasaan BN, namun cabaran tersebut diyakini dapat diatasi sekiranya seluruh anggota parti menghayati jati diri perjuangan UMNO.

Tegas beliau, antara resepi utama yang bakal diberi fokus kali ini adalah berkonsepkan kemuafakatan dalam parti serta memperkemas jentera pilihan raya bagi merealisasikan matlamat mengekalkan kuasa BN di Kedah.

"Pembangkang pernah mentadbir Kedah, mereka mengidam untuk merampas kembali Kedah, dan UMNO berdepan dengan musuh yang tahu selok-belok dalaman parti sebab mereka juga daripada serpihan UMNO.

"Sebab itu, kita perlu memperkemas jentera parti, ada bahagian perlu dikemaskini antaranya Jerai, Kulim Bandar Baharu, Pendang dan Sik yang menang majoriti tipis. Kawasan Jerlun, Padang Terap dan Baling dengan majoriti lebih 3,000 undi juga perlu diberi perhatian," tegas beliau dalam sidang akhbar kepada media, di sini, semalam.

Sementara itu, Ahmad Bashah turut tidak memandang remeh pada ancaman beberapa bekas pemimpin UMNO yang kini khianat pada parti yang sebelum ini menjulang nama mereka di mata rakyat.

Kata beliau, bekas-bekas pemimpin parti itu meskipun mendakwa kononnya berjuang untuk rakyat, namun sebenarnya lebih berpaksikan kepada kepentingan politik diri sendiri, sekaligus berniat untuk melumpuhkan sistem demokrasi dan kestabilan politik negara.

Lebih 1,000 kepimpinan UMNO, ketua-ketua sayap parti dan perwakilan dari semua 15 UMNO Bahagian dari seluruh negeri Kedah semalam berkampung sehari suntuk di sini menghadiri konvensyen yang bertema "Muafakat Kedah Menuju PRU14".

Selain itu, konvensyen berkenaan turut dihadiri oleh Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad, dan Presiden 1MDB, Arul Kanda, yang dijemput khas sebagai panel dalam sesi forum yang berlangsung di sini. - Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com