Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 2.0 Bawa 6 Resolusi


KUALA LUMPUR - Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 2.0 terima pakai enam resolusi untuk dibahaskan pada Perhimpunan Agung Umno bermula 29 November hingga 3 Disember depan.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata resolusi dipersetujui pada konvensyen bertemakan menginsafi, mensyukuri dan mengiktiraf sumbangan Umno itu meliputi aspek pendidikan, ekonomi dan agama.

Beliau berkata resolusi pertama ialah Umno dan kepimpinannya tidak seharusnya berganjak untuk sentiasa memastikan kelangsungan agenda membina peradaban bangsa dan agama.

"Kedua, Umno perlu terus teguh dan tidak mudah longgar daripada prinsip perjuangan meskipun difitnah, ditohmah dan diremehkan dalam mendepani dunia peperangan persepsi yang hebat dan gawat.

"Selain itu, Umno perlu menumpukan aspek pentarbiyahan parti berpandukan model Rasulullah SAW dalam membina negara bangsa agar akar yang membina parti ini terus kukuh," katanya ketika berucap pada majlis penutupan konvensyen itu di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini Ahad.

Resolusi berkenaan diserahkan kepada Naib Presiden Umno yang kini menjalankan tugas-tugas khas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Turut hadir Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa.

Tambah Asyraf Wajdi, resolusi lain termasuk Umno perlu lebih bersifat substantif dan bijaksana dalam memasyarakatkan dan mempromosikan semua dasar, pelan, rancangan, program dan projek yang telah dilaksanakan.

"Seterusnya Umno dan kepimpinannya perlu mencari formula terbaik untuk menyatukan umat Melayu Islam atas prinsip Taawun atau bekerjasama atas perkara kebaikan dan ketaqwaan.

"Akhir sekali Umno perlu terus menyemarakkan falsafah Melayu hebat, bermaruah dan berkat sebagai falsafah kehidupan selaras prinsip Islam berteraskan hubungan dengan Allah dan manusia," katanya.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com