Kon Yew Calon Terbaik Ganti Guan Eng - DAP Kedah


ALOR SETAR - DAP Kedah menyambut baik gesaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang mahu Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru.

Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew menjelaskan bahawa ia adalah satu tindakan biasa untuk bersedia dengan calon paling sesuai untuk dilantik menjadi Ketua Menteri sekiranya Guan Eng disabitkan bersalah dalam dua pertuduhan rasuah yang dihadapinya di mahkamah.

"Itu biasa. Kita memang perlukan pengganti dan Pengerusi DAP di Pulau Pinang adalah antara calon terbaiklah.

"Saya setuju, ia adalah satu prosedur yang normal, kenapa tidak?," katanya bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Guan Eng yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP Kebangsaan itu.

Mengulas lanjut, adalah menjadi amalan bagi sesebuah parti politik yang menguasai kerajaan negeri itu untuk melantik Pengerusi parti di peringkat negeri untuk menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Kata Kok Yew, keputusan tersebut tidak dibuat oleh Guan Eng seorang diri malah Kon Yeow juga merupakan pilihan rakyat Pulau Pinang, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan mendapat sokongan parti.

"Dia adalah seorang Pengerusi (DAP), dia dapat sokongan rakyat, dia dapat sokongan semua Adun-Adun, dia dapat sokongan parti. Jadi, dia sesuailah (untuk jadi Ketua Menteri)," katanya ketika dihubungi Kedahnews.com.

Guan Eng baru-baru ini menggesa ahli DAP untuk menyokong cadangan beliau menamakan Kon Yeow mengambil alih jawatan beliau sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru sekiranya didapati bersalah dalam dua pertuduhan rasuah di mahkamah.

Dua kes dakwaan rasuah ke atas Setiausaha Agong DAP itu kini masih lagi dibicarakan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melibatkan skandal jual beli banglo miliknya yang didakwa telah dibeli jauh di bawah harga pasaran dan skandal Taman Manggis. -Kedahnews.com

1 comment:

  1. SAYA FIKIR SEKARANG PEKERJA DAP DAN GUAN ENG SEDANG MELOBI KDN, PEJABAT HAKIM DAN PM UNTUK SELESAIKAN KES RASUAH GUAN ENG DAP...

    ReplyDelete

| Copyright © 2013 KedahNews.com