KFA Luah Penghargaan Kepada Kerajaan Negeri Kedah


KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Kedah yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah kerana memberi sokongan padu kepada skuad Lang Merah selama ini.

Laman Facebook rasmi KFA dalam satu kenyataan berkata, kerajaan Kedah dibawah pimpinan Ahmad Bashah terus menerus menzahirkan sokongan kepada pasukan bola sepak hijau kuning daripada pelbagai cara.

“Tidak hanya dengan sambutan kepulangan skuad hijaukuning sebagai Juara TM Piala Malaysia 2016 Rabu lepas, Kerajaan Negeri Kedah melalui papan iklan milik kerajaan negeri turut mewarnai suasana dengan papan poster menarik mengucapkan tahniah buat skuad Kedah.

“Selain dari papan iklan di Alor Setar berdekatan Stadium Darul Aman dan papan iklan di simpang empat Tol Langgar, turut disahkan papan iklan yang mengucapkan kejayaan skuad hijaukuning turut dipaparkan di 15 tempat strategik seluruh Kedah,” kata kenyataan itu.

KFA memaklumkan, menjelang musim baru 2017, lebih banyak lagi papan iklan untuk pasukan Kedah akan dibuat.

KFA turut menzahirkan rasa gembira kejayaan pasukan Kedah dipaparkan di halaman depan akhbar Utusan Malaysia dan Sinar Harian tajaan syarikat Bina Darulaman Berhad (BDB). – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com