Kesedaran ICT, Media Sosial Di Kalangan Rakyat Kedah Masih Rendah


ALOR SETAR - Tahap kesedaran dan pengetahuan para pengamal media sosial di negeri Kedah dianggap masih kurang ekoran masih ramai pengguna yang tidak tahu atau masih samar-samar tentang etika dan undang-undang negara.

Exco ICT Kerajaan Negeri Kedah, Dato' Nor Sabrina Mohd Noor berkata, ekoran kesedaran ICT di kalangan pengguna internet itu maka pihaknya terpanggil untuk meminta pihak CyberSecurity Malaysia mengadakan pelbagai program negeri ini bagi meningkatkan kesedaran orang ramai.

"Pendapat saya, kesedaran rakyat Kedah tentang pengunaan ICT masih lagi rendah di negeri Kedah.

"Maka sebab itu kita bawa pihak CyberSecurity Malaysia ini untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri supaya kita berusaha ke arah meningkatkan kesedaran orang ramai," katanya dalam sidang media, sejurus merasmikan Program Jelajah Cyber 2.0 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah yang berlangsung di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Jelas Nor Sabrina, rakyat negeri Kedah juga perlu sentiasa diberi kesedaran tentang kepentingan menjaga etika penggunaan media sosial yang sering diketepikan golongan netizen yang sebenarnya mempunyai batasan perundangan dan etika tersendiri.

"Ramai di kalangan mereka yang bermedia sosial sesuka hati, mereka berfacebook tanpa memikirkan tentang etika, tidak fikir adanya Akta Multimedia, ada undang-undangnya.

"Mereka juga tidak tahu pihak berkuasa pun ada forensic digital yang boleh mengesan mereka, kesedaran mengenai perkara tersebut masih rendah lagi.

Jadi kita berharap melalui Program Jelajah Cyber 2.0 ini, kita dapat meningkatkan kesedaran tersebut, berkongsi maklumat dan pengetahuan berkenaan dengan rakyat Kedah," jelasnya mengenai tahap kesedaran pengguna media sosial di negeri Kedah.

Menurut Timbalan Presiden CyberSecurity Malaysia, Mohd Shamir Hashim, pihaknya telah menerima lebih 7,000 kes yang dilaporkan pengguna media sosial melibatkan penyalahgunaan medium ICT di seluruh negara sehingga tahun ini.

Jelas beliau, majoriti kes berkenaan adalah berpunca dari kurangnya kesedaran pengguna tentang media sosial membabitkan kes akaun atau laman we mereka digodam, kecurian kandungan data dan sebagainya.

"Kelemahan di sini bukan dari segi teknologi, tapi kelemahan itu berpunca dari manusia. Pengguna itu sendiri yang membuka jalan kepada penjenayah-penjenayah siber ini untuk masuk.. termasuk jenayah scam," katanya.

Katanya, pelbagai jenis penipuan berlaku di negara ini termasuk pengguna internet yang membeli telefon pintar iPhone secara online, malangnya hanya menerima biskut oreo dan sebagainya. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com