Kerajaan Negeri Sudah Mula Bincang Bina Stadium Baru - MB Kedah


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri sudah mula berbincang untuk kemungkinan membina sebuah stadium berkapasiti 60,000 penonton dan sedang mencari kaedah yang sesuai untuk merealisasikan pembinaan stadium baru yang bakal menggantikan Stadium Darul Aman.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, melihat kepada peningkatan jumlah kehadiran peminat setia Hijau Kuning kepada skuad Lang Merah saban tahun telah membuat pihaknya mengambil inisiatif terhadap pembangunan bola sepak di negeri Jelapang Padi itu.

Jelas beliau, Staidium Darul Aman yang banyak menyimpan nostalgia bersejarah selama 54 tahun di Kedah itu berkapasiti 30,000 dan tidak lagi dapat menampung kehadiran penyokong Kedah yang kian ramai membanjiri stadium setiap kali perlawanan berlangsung di laman sendiri.

"Di peringkat Kerajaan Negeri kita pun dah mula berbincang mengenai dengan kapasiti Stadium Darul Aman sekarang ini kerana melihat penyokong begitu ramai dari pada masa ke semasa.

"Kalau kita tengok yang berkunjung ke Stadium Shah Alam baru ni pun stadium tu boleh masuk 80,000 penonton dan 70 peratus adalah penyokong Hijau Kuning," kata beliau dalam sidang media kepada wartawan yang hadir dalam program sambutan dan perarakan skuad Lang Merah di Stadium Darul Aman, petang semalam.

Ahmad Bashah berkata, sekiranya seramai itu yang sanggup hadir memberi sokongan kepada pasukan Kedah di Shah Alam, maka sudah tiba masanya untuk kerajaan negeri memikirkan pembinaan sebuah stadium dengan kapasiti yang lebih sesuai bagi memenuhi permintaan peminat bola sepak di negeri Jelapang Padi ini.

"Sudah sampai masanya untuk kerajaan negeri berbincang untuk membina sebuah stadium yang kapasitinya bukanlah sebesar stadium berkapasiti 80,000 penonton, tapi sekurang-kurangnya mampu menampung 60,000 penonton dalam satu masa," ujar beliau.

Walau bagaimanapun, sekiranya perancangan stadium baru itu diluluskan, maka berkemungkinan ia akan memakan masa sekitar dua hingga 3 tahun untuk dibina sebelum menjadi stadium utama untuk negeri Kedah.

"Pembinaan stadium pun mungkin memakan masa dua tahun hingga ke tiga tahun. Tahun ni kita dah mula rancang, berbincang dengan kerajaan negeri dalam mesyuarat Exco..

"Kalau kapasiti 60,000 penonton, ia akan melibatkan satu jumlah kos yang agak besar. Mungkin kemampuan kerajaan negeri kita tak mampu, mungkin kita boleh bincang dengan pihak swasta bagaimana untuk membantu kerajaan negeri untuk bina sebuah stadium baru ini," jelasnya lagi.

Difahamkan setiap kali perlawanan yang membabitkan pasukan Lang Merah, para penyokong terpaksa berebut-rebut untuk mendapatkan tiket masuk dan ada kalanya pulang hampa apabila tiket habis terjual.

Keadaan tersebut dikatakan sering berlaku ketika Kedah bertemu dengan beberapa pasukan ternama seperti Johor Darul Takzim (JDT), T-Team dan Selangor, selain turut menghadapi masalah dengan 'ulat tiket' yang kian mencetus ketidakpuasan hati peminat. -Kedahnews.com

2 comments:

  1. Selesaikan masalah air dulu baru fikir nak buat stadium baru.Itu lagi afdal.

    ReplyDelete
  2. Tuan Bokhari, tolong fowardkan pesanan anda kepada MB Selangor. Cuma ubah sikit sahaja, bukan stadium tapi Rumah Kos Rendah mampu milik.

    ReplyDelete

| Copyright © 2013 KedahNews.com