Kerajaan DAP P. Pinang Bentang Bajet 2017 Pada 15 Nov Ini


GEORGE TOWN – Bajet 2017 Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP akan dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 15 Nov ini, kata Yang Dipertua DUN Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang.

Beliau berkata bajet itu akan dibentang Ketua Menteri Lim Guan Eng dan diikuti sesi persidangan dewan dari 17 hingga 25 Nov.

Ditanya mengenai usul-usul yang akan dibahas pada sidang dewan kali ini, beliau berkata perkara itu belum diterima dan semua wakil rakyat masih mempunyai masa untuk mengemukakan usul yang ingin dibentang.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di bangunan DUN di sini semalam mengenai Sidang Muda Pulau Pinang 2016 yang akan diadakan pada 6 Nov ini.

Law berkata sebanyak 20 individu berpotensi dipilih untuk menyertai Sidang Muda itu yang akan bersidang selama sehari yang akan turut termasuk sesi Ahli Sidang Muda bersama Pejabat Speaker DUN.

Beliau berkata pihaknya berharap akan mendapat cadangan-cadangan usul yang menarik dan progresif daripada ahli Sidang Muda yang terpilih itu, yang mungkin boleh diperhalusi untuk dipertimbangkan pelaksanaannya di Pulau Pinang. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com