Keputusan Maria Chin Cabar Persempadanan SPR 24 Nov

Maria Chin Abdullah (kanan)
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 24 November untuk keputusan permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan aktivis Maria Chin Abdullah bagi mencabar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung persempadanan semula kawasan Parlimen Petaling Jaya Utara.

Hakim Azizul Azmi Adnan semalam menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Syahredzan Johan yang mewakili Chin dan Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh bertindak bagi pihak SPR.

Amarjeet dalam hujahnya berkata SPR pada peringkat ini hanya menjalankan proses rundingan, keputusan akhir bagi cadangan itu akan diputuskan oleh Dewan Rakyat.

Syahredzan dalam hujahnya menegaskan bahawa isu itu boleh diputuskan oleh mahkamah.

Chin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan RamRais & Partners pada 10 Okt lepas.

Dalam permohonannya, Chin memohon untuk membatalkan keputusan atau tindakan SPR dalam mengeluarkan notis syor yang dicadangkan bagi bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri.

Chin juga memohon pengisytiharan bahawa proses atau prosiding persempadanan semula yang dimulakan oleh SPR melalui notis tersebut adalah tidak sah dan terbatal. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com