Keputusan Mansuh UPSR Dimuktamad Tahun Depan - Mahdzir


KUALA LUMPUR – Keputusan cadangan pemansuhan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dijangka dimuktamadkan tahun hadapan, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) telah mula menjalankan analisis dan sedang mempertimbangkan masa yang sesuai untuk memutuskan perkara tersebut.

“Kita membuat analisa berdasarkan pandangan ahli-ahli akademik dalam negara, modul dari negara-negara lain yang boleh diketengahkan dan juga daripada guru-guru yang berpengalaman.

“Perbincangan baru dilakukan di peringkat kementerian, belum dibawa ke peringkat Kabinet. Saya akan maklumkan tahun depan sebab semua pandangan itu sedang dibuat analisa,” katanya kepada wartawan di Lobi Parlimen.

Beliau berkata pihaknya masih belum bercadang untuk memansuhan UPSR dalam waktu terdekat kerana KPM baru sahaja melaksanakan format baharu UPSR tahun ini.

“Sesetengah negara seperti Perancis dan Finland, pentaksiran mereka adalah berdasarkan penilaian sekolah termasuk pentaksiran psikometrik, kokurikulum dan sahsiah pelajar. Tapi sebab kita berorientasikan peperiksaan, kita hanya tengok pada akademik sahaja dan tidak pada soal lain,” jelasnya.

Terdahulu ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) semasa menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Mahdzir berkata format UPSR tidak ditukar sewenang-sewenangnya kerana ia telah diperkenalkan sejak 2010.

Beliau berkata pelajar telah diberikan persediaan selama enam tahun sebelum mereka menghadapi peperiksaan UPSR format baharu pada tahun ini.

Mahdzir pada 27 Oktober lalu memaklumkan bahawa kajian berkaitan cadangan untuk menggantikan UPSR dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sudah memasuki peringkat akhir.

Katanya sudah sampai masa untuk ujian berorientasikan peperiksaan yang dilaksanakan pada masa ini dikaji semula bagi menilai pencapaian sebenar murid. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com