Kepercayaan Disemai, Manfaat Dituai - Mohd Najib Razak


KUALA LUMPUR – Berikut adalah artikel tulisan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai sejarah hubungan diplomatik Malaysia-China, yang disiarkan chinadaily.com, sebuah portal berita berbahasa Inggeris di China.

Najib sedang melakukan lawatan rasmi enam hari ke China bermula Isnin.
KEPERCAYAAN DISEMAI, MANFAAT DITUAI

Empat puluh dua tahun lepas, iaitu pada 1974, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdul Razak melakukan apa yang beliau sifatkan sebagai, “perjalanan ke daerah yang tidak diketahui untuk menyemai benih persefahaman dan kepercayaan antara satu sama lain.”

Beliau berbuat demikian walaupun disambut dengan hamburan persoalan dan kritikan kerana banyak pihak berpendapat beliau mengambil langkah silap apabila mengemudi Malaysia untuk menjadi negara pertama di rantau ini yang menjalin hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China.

Namun demikian, ayahanda saya, Tun Razak, tetap berpegang teguh dengan kepercayaannya bahawa usaha untuk memupuk perdamaian dan kerjasama dalam kalangan jiran merupakan suatu langkah yang betul.

Apabila saya, sebagai anak muda ketika itu, bertanya ayahanda saya kenapa beliau begitu yakin tentang langkah itu, beliau menjawab: “Sebab Zhou Enlai adalah seorang manusia yang boleh saya percayai.”

Setelah beberapa dekad berlalu, keputusan ayahanda saya meletakkan kepercayaan terhadap China itu ternyata tidak sia-sia dan kini kita menuai hasil daripada wawasan beliau itu.

Hubungan ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dengan China menjadi semakin rapat apabila dibantu oleh pertukaran erat dalam bidang politik dan perniagaan di peringkat tertinggi.

China adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia pada 2015, kedudukan yang dikekalkannya sejak 2009, dengan perdagangan antara kedua-dua negara pada tahun lepas mencapai kira-kira US$100 bilion.

Malaysia juga merupakan rakan perdagangan kelapan terbesar dunia bagi China. Dalam kalangan negara anggota ASEAN pula, kami merupakan rakan perdagangan terbesar bagi China, juga sumber terbesar import dan destinasi eksport kedua terbesar bagi China.

Dalam tempoh 22 tahun lepas, saya mengunjungi China dalam pelbagai kedudukan, termasuk sebagai Menteri Pertahanan, Menteri Pendidikan, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri.

Setiap kali melakukan lawatan, saya kagum apabila melihat betapa eratnya hubungan antara kita, bagaimana ia berkembang dengan begitu pesat serta betapa banyaknya peluang yang wujud pada masa akan datang.

Saya menyaksikan bagaimana China mendapatkan kembali kedudukannya di persada dunia sebagai sebuah kuasa besar, manakala di Malaysia, kami melangkah maju daripada sebuah ekonomi berasaskan pertanian kepada sebuah ekonomi berpendapatan pertengahan atas dan sedang menuju ke arah menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Kini, hubungan antara negara kita sedang menuju ke aras lebih tinggi. Sempena lawatan saya ini, yang turut melibatkan perbincangan dengan Tuan Yang Terutama Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang, kami akan menandatangani banyak perjanjian dan memorandum persefahaman baharu, yang akan meningkatkan lagi hubungan antara negara kita.

Usaha sama yang dijalin dengan syarikat China telah melahirkan Taman Perindustrian Qinzhou Industrial di Guangxi, manakala Taman Perindustrian Kuantan pula mewujudkan pekerjaan dan peluang baharu untuk rakyat dari kedua-dua negara.

Kini, kami mempunyai pelabuhan air dalam di Melaka, suatu projek yang dirasmikan bulan lepas.

Pelan bagi Bandar Malaysia, sebuah metropolis bawah tanah berbentuk futuristik – yang akan merupakan sebuah bandar raya bawah tanah terbesar di dunia apabila ia siap dibina di Kuala Lumpur – telah diumumkan.

Kami sungguh gembira kerana Malaysia dipilih untuk menjadi tuan rumah Xiamen University Malaysia, cawangan pertama universiti awam China di seberang laut.

Itu hanyalah sebahagian daripada kerjasama yang dijalin dalam pelbagai sektor, termasuk kereta api, hartanah dan tenaga, yang sedang dilaksanakan.

Seterusnya, kami komited untuk meluaskan lagi kerjasama yang sedia terjalin, termasuk secara dua hala melalui Pertubuhan Negara Asia Tenggara dan sebagai sebahagian daripada inisiatif Presiden Xi yang berwawasan jauh, ‘One Belt One Road’.

Di samping itu, kami juga sedang mengambil langkah baharu dalam bidang kerjasama ketenteraan dengan China.

Hampir dua tahun lepas, kami pertama kali mengadakan latihan ketenteraan dua hala dan pada tahun lepas pula, untuk julung kalinya, kami mengadakan latihan bersama melibatkan anggota tentera.

Sekarang, kami mengadakan perjanjian pertahanan signifikan pertama antara kedua-dua negara, dengan Malaysia membeli kapal misi pesisir daripada China – dua kapal pertama daripadanya akan dibina di China, kemudian dua di Malaysia, dan seterusnya kapal yang dibina oleh Malaysia dengan pembiayaan kerajaan.

Perjanjian ini akan meningkatkan lagi keupayaan industri pembinaan kapal dan pertahanan Malaysia.

Hubungan antara China dan Malaysia adalah berasaskan sikap saling mempercayai dan menghormati.

Namun demikian, kami sedar bahawa walaupun merupakan sahabat rapat, mungkin terdapat juga isu yang kami berbeza pendapat.

Mengenai Laut China Selatan, kami berkeyakinan penuh bahawa pertikaian bertindih mengenai wilayah dan maritim perlu ditangani secara tenang dan rasional serta melalui dialog, sejajar dengan kedaulatan undang-undang dan rundingan secara aman.

Secara lebih jelas, kami percaya bahawa adalah wajar bagi negara lebih besar untuk melayan negara lebih kecil secara adil.

Ini termasuklah bekas kuasa penjajah. Mereka tidak sepatutnya mengajar negara yang pernah mereka jajah tentang cara untuk menangani hal ehwal dalaman masing-masing yang wujud hari ini.

Malaysia dan China sependapat tentang keperluan mempertahankan kedaulatan negara dan percaya bahawa sejarah, nilai dan sistem tadbir urus sesebuah negara, perlu dihormati.

Ini khususnya lebih relevan apabila titik penentu dunia kini beralih ke Timur. Institusi global juga perlulah mencerminkan hasrat sebenar dan pandangan negara yang tidak diberi suara dalam infrastruktur perundangan dan keselamatan yang dibina pihak yang menang dalam Perang Dunia Kedua.

Inilah sebabnya kami mengalu-alukan insiatif China untuk mewujudkan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia.

Kami memerlukan institusi baharu untuk era baharu: era dialog secara aman, bukan campur tangan asing di negara berdaulat, dan kerjasama ‘menang-menang’ yang memberi manfaat kepada semua, bukan kepada hanya segelintir pihak sahaja.

Ini akan menjadi Kurun Asia, tetapi tidak banyak negara yang mampu mewakili potensi yang terdapat di rantau kami, lebih baik daripada China.

Melalui kerjasama, kita perlu mengukuhkan lagi kerjasama yang ditempa semula oleh Tun Razak pada 1974, yang melangkah kembali ke beberapa kurun lepas hingga ke awal era Dinasti Ming apabila duta perdagangan China pertama kali tiba di Melaka.

Peluangnya sudah ada – hanya kita yang perlu memanfaatkannya. Dan dalam berbuat demikian, saya yakin kita mampu mengubah kehidupan rakyat kita dan membentuk semula rantau ini serta dunia untuk menjadi lebih sejahtera. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com